PRN MELAKA: PENGUNDI AWAL PILIHLAH YANG TERBAIK – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

TANJUNG BIDARA 9 November – Pengundi awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka esok diseru membuat pilihan terbaik demi masa depan Melaka, kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, pengundi awal diharap dapat membuat penilaian terbaik sebelum membuat keputusan di peti undi.

Menurutnya, beliau tidak meminta pengundi awal memilih BN, sebaliknya memberikan ruang yang adil untuk pengundi memainkan peranan memilih pemimpin terbaik yang mampu mencorakkan Negeri Melaka demi masa depan yang lebih gemilang.

“Saya tidak pinta supaya pilih Barisan Nasional, tetapi kita memberikan satu ruang yang luas untuk meraka (pengundi) berkarya. Kita tidak memaksa, kita memberikan persekitaran adil untuk semua yang bertanding.

“Tetapi apa yang saya minta pengundi awal esok pilihlah yang terbaik daripada yang terbaik. Insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Pentas Gelombang Biru DUN Tanjung Bidara di Bilik Gerakan BN Pasir Gembur, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Mohd Hasnol Ayub; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap bekas Ahli Parlimen Muar Datuk Seri Razali Ibrahim; Ahli Parlimen Pendang merangkap Ahli Majlis Tertinggi PAS Datuk Haji Awang Hashim serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf yang juga calon nombor 2 kerusi N.02 Tanjung Bidara bagaimanapun mengingatkan pengundi awal supaya tidak tersilap membuat pilihan ketika menunaikan tanggungjawab mereka esok, sebaliknya meneliti setiap calon dan parti yang bertanding sebelum menentukan sokongan.

Katanya, keputusan undi pengundi awal itu juga akan menjadi ukuran bagi mengenal pasti kecenderungan serta arah sokongan rakyat Melaka pada PRN Melaka kali ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

95
Kongsi :
Previous post MENARA TAMING SARI ‘MESRA POKET’, PELANCONG LUAR TERUJA
Next post PRN MELAKA: ‘PENGUNDI AWAL BERILAH PELUANG SAYA JADI SUARA SUNGAI UDANG’ – RAIS