PRN: MICHAEL GAN AKUI SETIAP UNDI AMAT BERMAKNA

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 11 November – Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer keroh, Datuk Seri Michael Gan berharap penjawat awam dapat memberikan sokongan kepada parti itu yang juga rakan strategik Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Katanya, bagaimanapun pihaknya enggan terlalu yakin terhadap sokongan kumpulan pengundi memandangkan keputusan untuk memilih calon terletak sepenuhnya di tangan individu selain undi adalah rahsia.

“Saya memang berharap undi daripada penjawat awam dapat diberikan kepada kita namun undi itu rahsia dan terpulang kepada kakitangan kerajaan untuk membuat pilihan masing-masing.

“Selain saya juga tidak boleh terlalu yakin kerana setiap undi amat mustahak dan yang boleh saya katakan, berilah peluang kepada PN,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pusat pengundian awal di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini, hari ini.

Mengulas baki tempoh kempen, Michael berkata, jentera parti itu akan terus mempergiat gerak kerja dengan mengunjungi sebanyak mungkin kawasan termasuk Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Tempoh tiga hari terakhir kempen perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan pastinya perlu bekerja lebih kuat malah sekarang waktu tidur sudah tidak cukup tetapi itu tidak menjadi halangan.

“Ini kerana setiap undi amat bermakna dan kita akan cuba melakukan yang terbaik,” katanya.

Pada PRN Melaka Ke-16, DUN Ayer Keroh menyaksikan pertembungan empat penjuru iaitu penyandang kerusi DUN itu Kerk Chee Yee (Pakatan Harapan) berdepan saingan Datuk Seri Michael Gan (Perikatan Nasional), Muhammad Muhaimin Lau Abdullah (Bersama) dan Mohd Hamnaim Mohamad (Bersatu).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

159
Kongsi :
Previous post LIMA AGENDA PERKUKUH EKOSISTEM DATA RAYA MELAKA