TAK PERLU ROMBAK KABINET, LEBIH BAIK BUBAR PARLIMEN – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

PANTAI KUNDOR 10 November – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandangan tiada keperluan untuk Kerajaan Persekutuan membuat rombakan kabinet ketika ini, sebaliknya menyifatkan pembubaran Parlimen bagi mendapatkan mandat baharu daripada rakyat sebagai langkah lebih baik.

Ahmad Zahid berkata, pembentukan kerajaan baharu selepas pilihan raya umum (PRU) akan memberikan mandat semula kepada rakyat untuk menentukan kepimpinan negara.

Katanya, beliau tidak melihat keperluan untuk rombakan kabinet meskipun terdapat seorang individu yang mungkin telah menyatakan komitmen untuk meletakkan jawatan susulan perkembangan berkaitan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dibenarkan menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

“Saya tidak nampak adanya keperluan sekarang ini untuk mengadakan rombakan Kabinet.

“Sebaik-baiknya bukan rombakan Kabinet, sebaik-baiknya Parlimen yang dibubarkan, itu kita berikan mandat semula kepada rakyat dan kita bentuklah kerajaan baharu selepas itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bersama Kepimpinan Tertinggi di Puteri Qashrina Chalet, Pantai Puteri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah; Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man serta kenamaan lain.

Spekulasi mengenai kemungkinan rombakan kabinet kembali diperkatakan susulan keputusan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook untuk meletakkan jawatan sekiranya Najib dibenarkan memulakan baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Loke sebelum ini memaklumkan telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Perdana Menteri pada 28 September lalu, dengan keputusan itu akan berkuat kuasa apabila Najib dibenarkan menjalani hukuman di kediamannya.

Selain itu, tempoh pelantikan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai Ahli Dewan Negara dijadual berakhir pada 11 Disember ini, sekali gus mencetuskan spekulasi mengenai kemungkinan perubahan bagi portfolio berkenaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata masih terlalu awal untuk mempertimbangkan rombakan kabinet.

Rombakan Kabinet terakhir diumumkan pada 16 Disember 2025, membabitkan perubahan portfolio lapan menteri dan 10 timbalan menteri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

185
Kongsi :
Previous post BN MAHU TERUSKAN MOMENTUM PEMBANGUNAN MELAKA
Next post PRN MELAKA: SELESAI RIBUAN ADUAN RAKYAT BUKTI KEBERKESANAN PENTADBIRAN MELAKA DI BAWAH BN