
PRN MELAKA : ROSLI MAHU JETI NELAYAN KUALA LINGGI LEBIH SELAMAT
KUALA LINGGI 11 November – Keadaan jeti nelayan yang semakin uzur di sepanjang Sungai Linggi memerlukan perhatian bagi memastikan keselamatan dan keselesaan golongan itu ketika menjalankan aktiviti harian.
Menyedari keperluan itu, calon Barisan Nasional (BN) N.01 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah merancang mengusahakan penyediaan jeti nelayan berskala kecil yang lebih selamat dan selesa untuk kegunaan komuniti berkenaan.
Beliau berkata, keadaan beberapa jeti sedia ada yang uzur berpotensi mengancam keselamatan nelayan, sekali gus memerlukan penambahbaikan secara berperingkat.
“Kita tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, tetapi saya mahu mengusahakan satu tempat yang selesa untuk menyediakan jeti nelayan, sekurang-kurangnya memberikan keselesaan dan keselamatan kepada mereka.
“Kalau kita perhatikan, jeti di sepanjang sungai di sini agak uzur dan boleh mengancam keselamatan mereka. Itu antara perkara yang akan kita usahakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan ke DUN Kuala Linggi oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan DUN Kuala Linggi.
Mengulas gerak kerja kempen, beliau berkata, pihaknya mengekalkan momentum secara konsisten menerusi pelbagai aktiviti bersama masyarakat yang dilaksanakan dari awal pagi hingga lewat malam.
“Antara pendekatan digunakan termasuk program ziarah kasih, aktiviti memasak bubur kacang, dodol dan wajik serta permainan tradisional bagi mendekati masyarakat setempat, khususnya golongan muda.
“Terima kasih atas kerjasama bapa angkat dan ketua-ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang membantu memastikan setiap aktiviti kempen berjalan lancar serta memberi manfaat kepada penduduk,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

