
PRN MELAKA: BERI PELUANG, HAMEED TERUS BERKHIDMAT
AYER LIMAU 11 November – Pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, diminta memberi peluang kepada penyandang kerusi itu, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer untuk meneruskan khidmat dan usaha pembangunan yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, Hameed sudah membuktikan komitmennya sebagai wakil rakyat apabila bekerja keras memastikan pelbagai keperluan dan kemudahan rakyat di kawasan berkenaan dapat dipenuhi secara berperingkat sejak 2022.
Beliau berkata, Hameed telah banyak berusaha membangunkan kawasan itu dan membantu penduduk sepanjang menjadi wakil rakyat, justeru usaha berkenaan wajar diteruskan dan tidak disia-siakan.
“Membina sebuah negeri mahupun sebuah negara daripada pengalaman yang kita uruskan mesti diberikan kesinambungan sewaktu hari pilihan raya untuk kita teruskan perjuangan.
“Untuk itu pengundi DUN Ayer Limau teruskan memberi mandat kepada Hameed untuk meneruskan khidmatnya untuk penggal baharu.
“Banyak sudah dilakukannya untuk kemudahan rakyat termasuk mengusahakan menara komunikasi di Paya Lebar bagi meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap ketika lawatan ke Bilik Gerakan DUN Ayer Limau yang turut dihadiri calon BN DUN Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer, di Jeram, di sini, hari ini.
Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka berkata, tempoh berkempen selama dua minggu selepas penamaan calon tidak mencukupi untuk calon mendekati pengundi, sebaliknya BN sudah lebih awal turun padang bagi bertemu masyarakat serta mendengar denyut nadi dan memahami keperluan rakyat.
“Kita sudah mula lebih awal menerusi program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) contohnya dua bulan sebelum turun ke DUN Ayer Limau, kita sudah mengadakan mesyuarat penyelenggaraan bagi mengetahui masalah, keperluan rakyat serta infrastruktur yang perlu ditambah baik.
“Jadi di Melaka kita sudah bergerak lebih awal bukan dua minggu kerana kita mewakili rakyat jadi kita perlu tahu apa masalah mereka.
“Sebagai wakil rakyat kita tidak boleh duduk goyang kaki, contohnya seperti Hameed yang bekerja tanpa mengira masa.
“Walaupun menerima panggilan pada jam 3 pagi sekalipun, beliau sanggup datang membantu,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


