PRN MELAKA: MANIFESTO BN-PN CUKUP DEKAT DI HATI RAKYAT MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PENGKALAN BATU 12 November – Sasaran menarik pelaburan bernilai RM30 bilion, mewujudkan 25,000 peluang pekerjaan baharu dan membina 25,000 Rumah Mampu Milik dalam tempoh lima tahun antara tawaran utama yang diketengahkan menerusi manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sasaran berkenaan antara inisiatif yang dilihat dekat dengan keperluan rakyat serta mampu memberi gambaran hala tuju pembangunan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Beliau berkata, manifesto yang dibentangkan Pengarah PRN Melaka Ke-16 Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh itu merangkumi 113 inisiatif yang mengambil kira pelbagai aspek pembangunan dan kesejahteraan masyarakat.

“Saya lihat harapan yang diterangkan dalam manifesto ini cukup dekat di hati rakyat Negeri Melaka, umpamanya mendapatkan RM30 bilion pelaburan daripada luar negara dengan berhajat untuk mewujudkan 25,000 pekerjaan baharu di Negeri Melaka ini.

“Begitu juga hasrat agar kira-kira 25,000 rumah mampu milik dibangunkan dalam tempoh lima tahun di negeri ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Bersama Pengundi India Muslim di Bilik Gerakan Pengkalan Batu Masjid An-Nur, Peringgit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki; Presiden KIMMA, Datuk Syed Ibrahim Kader; Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA Negeri Melaka, Mazvin Jahabardeen; calon BN DUN Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood; calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; calon PN DUN Bukit Katil Ridzuan Sarif serta calon PN DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan.

Ahmad Zahid berkata, keseluruhan 113 inisiatif yang digariskan dalam manifesto itu mencerminkan perancangan pembangunan yang perlu dilihat secara menyeluruh, bukan hanya berdasarkan satu-satu tawaran.

Katanya, rakyat juga perlu menilai manifesto berkenaan bersama rekod pelaksanaan pentadbiran negeri sepanjang tempoh kepimpinan Ab Rauf sebelum ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

191
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: ‘BIRU PEKAT, BIRU CERAH’ KETEPI PERBEZAAN, BN-PN BERGERAK SEPASUKAN
Next post PRN MELAKA: 60 ‘GENG TOW TRUCK’ BERI SOKONGAN KEPADA GELOMBANG BIRU