PRN MELAKA: 60 ‘GENG TOW TRUCK’ BERI SOKONGAN KEPADA GELOMBANG BIRU

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDARAYA MELAKA 12 November – Kira-kira 60 trak tunda (tow truck) hadir memberikan sokongan kepada kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dan ‘gelombang biru’ sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Sokongan itu diberikan menerusi Program Ramah Mesra Bersama Pengusaha Towing Truck yang turut menjadi platform komuniti berkenaan menyampaikan aspirasi dan keluh-kesah industri kepada kerajaan.

Seorang pengusaha trak tunda, Roslan Samodzatkhan, 51, berkata pertemuan itu amat bermakna kerana menjadi peluang yang sekian lama dinantikan oleh pengusaha industri berkenaan di Melaka.

“Alhamdulillah, program bersama Ketua Menteri hari ini sangat bagus. Memang kami semua pengusaha towing di Melaka ini sudah lama berhasrat hendak berjumpa dengan beliau.

“Kali ini hasrat itu tercapai dan kami dapat berjumpa secara bersemuka untuk menyuarakan pelbagai perkara dan menunjukkan sokongan kepada kepimpinan beliau,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Roslan yang sudah 20 tahun berkecimpung dalam perkhidmatan trak tunda berkata, program itu menghimpunkan kira-kira 60 pengusaha trak tunda bagi memberikan sokongan kepada Ab Rauf dan Barisan Nasional (BN).

Menyentuh kepimpinan Ab Rauf, Roslan menyatakan rasa puas hati terhadap kepimpinan Ketua Menteri yang telah banyak mengubah landskap negeri sepanjang pentadbiran beliau.

Mengulas mengenai cabaran operasi pengusaha trak tunda di Melaka, dia berkata keadaan industri perkhidmatan lori tunda di Melaka ketika ini sangat terkawal dan tidak berdepan masalah besar dalam melaksanakan tugasan harian.

Bagaimanapun, katanya, persaingan dalam pasaran semakin mencabar apabila operasi perkhidmatan kini banyak melibatkan urusan dengan pihak insurans, sekali gus menuntut pengusaha syarikat persendirian meningkatkan daya saing.

Sehubungan itu, dia berharap Kerajaan Negeri dapat mempertimbangkan bantuan atau insentif khusus bagi membantu kelangsungan operasi pengusaha lori tunda, khususnya syarikat persendirian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

225
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: MANIFESTO BN-PN CUKUP DEKAT DI HATI RAKYAT MELAKA