
PRN MELAKA: MANIFESTO BN-PN INKLUSIF, TIDAK PINGGIR MANA-MANA KAUM DAN AGAMA
PENGKALAN BATU 12 November – Manifesto Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 disifatkan bersifat inklusif apabila merangkumi kepentingan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendekatan itu mencerminkan komitmen BN untuk memastikan setiap inisiatif yang dirancang dapat dinikmati semua rakyat di negeri ini.
Menurutnya, masyarakat Melaka terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang termasuk Melayu, Cina, India, India Muslim, Orang Asli dan semuanya perlu diberikan perhatian secara adil.
“Kalau kita tengok dalam manifesto BN dan PN, Pengarah PRN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf telah pun membentangkan bahawa kita tidak pernah ada sebarang pendiskriminasian baik dari segi kaum mahupun agama.
“Sudah tentu bila dikatakan rakyat Melaka, ia meliputi semua. Orang Melayu, orang Cina, orang India, kaum minoriti India Muslim, Orang Asli dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Bersama Pengundi India Muslim yang berlangsung di Bilik Gerakan Pengkalan Batu, Masjid An-Nur, Peringgit, di sini, hari ini.
Majlis itu telah disempurnakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Hadir sama, Presiden Kongres India Muslim Malaysia (KIMMA), Datuk Syed Ibrahim Kader; Pengerusi Badan Perhubungan KIMMA Negeri Melaka, Mazvin Jahabardeen; calon BN DUN Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood; calon BN DUN Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; calon PN DUN Bukit Katil Ridzuan Sarif serta calon PN DUN Ayer Keroh, Datuk Michael Gan.
Asyraf Wajdi berkata, manifesto berkenaan tidak hanya memberi tumpuan kepada kelompok masyarakat tertentu, sebaliknya setiap inisiatif yang dirangka mengambil kira kepentingan seluruh rakyat.
“Sebab itu kalau kita tengok segala yang diinisiatifkan untuk dilaksanakan merangkumi dan meliputi semua kerana ini adalah manifesto yang bersifat inklusif,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


