
PRN MELAKA: DIRA TERUS SANTUNI PENGUNDI RIM DARI RUMAH KE RUMAH MENJELANG HARI MENGUNDI
RIM 12 November – Kunjungan dari rumah ke rumah menjadi antara strategi calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira, dalam mempergiat kempen pada saat akhir menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Beliau berkata, baki tempoh berkempen akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menemui seramai mungkin pengundi, khususnya penduduk di kawasan kampung.
Menurutnya, pendekatan secara bersemuka itu masih menjadi kaedah utama untuk mendengar pandangan penduduk, selain memastikan mesej dan tawaran BN dapat disampaikan secara langsung kepada mereka.
“Jadi kita akan teruskan cara tradisional, dari rumah ke rumah, ‘walkabout’ dan cuba berjumpa dengan seramai mungkin pengundi di setiap kampung.
“Setakat ini, sambutan yang diterima baik dan ramai yang mengenali saya kerana sebelum ini kita juga pernah bertemu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Walkabout bersama bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Taman Seri Chinchin, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Khaidhirah berharap pengundi berdaftar di DUN Rim yang bekerja atau melanjutkan pelajaran di luar kawasan dapat pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, Sabtu ini.
“Setiap undi amat penting dalam menentukan kemenangan BN. Saya merayu semua pengundi yang berada di luar kawasan supaya pulang dan memberikan sokongan kepada saya,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


