GIATMARA MELAKA BAKAL JADI PUSAT LATIHAN E-SUKAN NASIONAL – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

MERLIMAU 13 November – Sebuah GiatMARA di Melaka bakal dijadikan pusat latihan e-sukan nasional bagi melahirkan lebih ramai pemain berpotensi untuk mewakili negara dalam pertandingan di peringkat antarabangsa, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, persetujuan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki sudah diperoleh bagi merealisasikan hasrat menjadikan salah sebuah GiatMARA di negeri ini sebagai pusat latihan e-sukan untuk seluruh negara.

Menurutnya, kemudahan itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda mengembangkan bakat serta menceburi bidang e-sukan secara lebih serius.

“Sebagaimana yang saya umumkan di Duyong, salah satu GiatMARA Melaka akan menjadi pusat latihan e-sukan.

“Dan saya ingin mengesahkan bahawa persetujuan daripada Pengerusi MARA bersetuju untuk menjadikan GiatMARA di Melaka ini sebagai pusat latihan e-sukan seluruh Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan AZH Jelajah E-Sukan Melaka Biru 2026 di Pekan Merlimau, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) DUN Merlimau, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; calon BN DUN Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar serta kenamaan lain.

Ahmad Zahid berkata, e-sukan merupakan antara bidang baharu yang boleh menyediakan ruang kepada golongan muda untuk menyertai aktiviti secara kompetitif, selain mengembangkan potensi dan kemampuan mereka dalam pertandingan di peringkat lebih tinggi.

Beliau turut menyuarakan hasrat untuk melihat pasukan e-sukan Malaysia muncul juara dunia, termasuk pasukan seperti HomeBois yang disifatkan mempunyai potensi mengharumkan nama negara.

“Saya turut berhasrat untuk melihat pasukan e-sukan Malaysia muncul juara dunia, termasuk pasukan seperti ‘Home Bois’ yang berpotensi mengharumkan nama negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

177
Kongsi :
Previous post TPM CADANG MELAKA JADI TUAN RUMAH KEJOHANAN E-SUKAN DUNIA 2028