
PRN MELAKA: PENGUNDI LUAR NYATA SOKONGAN TERHADAP ‘AH SEM’, PULANG MENGUNDI
MACHAP JAYA 13 November – Kira-kira 70 peratus daripada lebih 2,000 pengundi luar Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dijangka akan pulang bagi menunaikan tanggungjawab sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 esok.
Penyandang kerusi DUN Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata, jangkaan itu berdasarkan maklum balas diterima hasil daripada gerak kerja Pusat Daerah Mengundi (PDM) yang berhubung dengan pengundi luar sepanjang tempoh berkempen.
“Untuk DUN Machap Jaya kita mempunyai lebih 2,000 pengundi luar dan mereka berjaya dihubungi malah difahamkan kira-kira 70 peratus menyatakan akan pulang untuk menunaikan tanggungjawab.
“Meskipun ada sebahagian yang menyatakan tidak dapat pulang namun kita berharap pada saat akhir mereka dapat meluangkan sedikit masa,” katanya ketika ditemui di Bilik Gerakan DUN Machap Jaya, Lesong Batu, hari ini.
Calon nombor satu mewakili Barisan Nasional (BN) itu berkata, sempena hari pengundian pada esok pihaknya menyeru agar pengundi keluar seawal pagi bagi menunaikan tanggungjawab.
“Untuk esok saya menyeru pada semua pengundi DUN Machap Jaya agar kita beramai-ramai meluangkan masa untuk keluar mengundi dan jika boleh keluar lebih awal.
“Ini kerana berdasarkan ramalan cuaca waktu petang dijangka hujan jadi bagi memudahkan urusan mengundi lebih elok keluar lebih awal,” katanya.
Sementara itu, Hee Sem yang juga Timbalan Pengerusi MCA Negeri Melaka berkata, selepas hampir lima tahun berkhidmat dan menjalankan tanggungjawab termasuk menyelesaikan pelbagai isu rakyat beliau berharap rakyat dapar terus memberikan kepercayaan serta mandat kepadanya untuk meneruskan khidmat serta usaha pembangunan di kawasan berkenaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


