
PRN MELAKA: BAKI KEMPEN DIMANFAATKAN, SITI AISYAH JEJAK PENGUNDI HINGGA SAAT AKHIR
PENGKALAN BATU 13 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Siti Aisyah Mahmood memanfaatkan baki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 untuk menyantuni penduduk yang belum sempat ditemui sepanjang dua minggu berkempen.
Beliau berkata, hari terakhir kempen digunakan sepenuhnya untuk mengunjungi semula kawasan yang masih belum disantuni sebelum memberi tumpuan kepada persiapan jentera menghadapi hari pengundian esok.
Katanya, pendekatan turun padang secara bersemuka menjadi keutamaan bagi membolehkan penduduk daripada pelbagai lapisan masyarakat menyampaikan pandangan serta masalah mereka secara langsung.
“Sebenarnya hari ini saya gunakan untuk melihat semula mana-mana tempat yang belum sempat disantuni. Mana-mana yang tertinggal, kita cuba selesaikan hari ini.
“Malam pula kita bersiap untuk jentera kerana esok hari mengundi. Jadi semua kelengkapan perlu disediakan dan malam ini kita fokus kepada persiapan kerja esok,” katanya ketika ditemui pemberita pada sesi ziarah di Kampung Solok Periggit, di sini, hari ini.
Mengulas penerimaan penduduk sepanjang tempoh kempen, Siti Aisyah berkata, secara keseluruhannya beliau menerima maklum balas positif dengan kira-kira 80 peratus penduduk menyatakan kepuasan terhadap perkhidmatan BN sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, masih terdapat penduduk yang menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung beberapa isu setempat yang belum mendapat perhatian sewajarnya.
Menurutnya, beliau turut menggunakan motosikal untuk menyusuri lorong-lorong perumahan bagi mendekati pengundi, khususnya di kawasan yang sukar dikunjungi menerusi program rasmi.
“Pendekatan bertemu pengundi secara bersemuka penting kerana mereka mahu mengenali calon dengan lebih dekat selain mendapatkan gambaran sendiri mengenai komitmen yang ditawarkan.
“Menjelang hari pengundian esok, saya berharap pengundi menggunakan hak masing-masing dan membuat pilihan berdasarkan penilaian terhadap prestasi serta pengalaman pentadbiran Kerajaan Negeri sebelum ini.
“Saya harap pengundi yang berada di luar kawasan atau luar negeri supaya pulang mengundi kerana setiap undi penting dalam menentukan masa depan Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


