
UNDI ANDA PENENTU MASA DEPAN KLEBANG – BAN HONG
KLEBANG 13 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N.14 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Datuk Wira Lim Ban Hong merayu anak Melaka yang berada di luar negeri supaya pulang menunaikan tanggungjawab mengundi esok demi membantu merealisasikan hasrat membirukan Negeri Melaka.
Lim Ban Hong yang juga Pengerusi MCA Melaka berkata, setiap undi amat bermakna dalam menentukan mandat baharu kepada BN untuk membentuk Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Katanya, pengundi khususnya anak jati DUN Kelebang yang kini berada di perantauan tidak seharusnya melepaskan peluang untuk turut menentukan hala tuju pembangunan kawasan dan negeri yang mereka sayangi.
Menurutnya, baki tempoh kempen pada hari ini akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi mendekati pengundi, menyampaikan manifesto serta mendengar aspirasi dan pandangan masyarakat setempat.
“Setiap undi itu penting. Kita akan berusaha sehingga ke minit terakhir kempen untuk bertemu seramai mungkin pengundi, menyampaikan manifesto dan misi parti selain mendengar pandangan serta harapan mereka.
“Saya merayu semua pengundi Klebang, termasuk yang berada di luar Melaka, supaya pulang dan menunaikan tanggungjawab mengundi esok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini pada hari terakhir kempen PRN Melaka Ke-16 selepas menghadiri sesi pelepasan konvoi bersama penunggang e-hailing di Persiaran Balik Buloh di sini, hari ini.
Lim Ban Hong yang merupakan calon nombor 4 kerusi berkenaan turut berharap pengundi memberikan mandat kepada parti itu bagi membolehkan beliau meneruskan khidmat serta membawa lebih banyak pembangunan dan kemajuan kepada masyarakat di DUN Kelebang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


