
PRN MELAKA: POLIS PERKETAT KAWALAN KESELAMATAN DI 4 LOKASI TUMPUAN
TELOK MAS 14 November – Polis Melaka memperketat kawalan keselamatan di empat lokasi tumpuan di seluruh negeri bagi memastikan ketenteraman awam terpelihara sepanjang pengumuman keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 malam ini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Dzulkhairi Mukhtar berkata, lokasi berkenaan ialah Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Kompleks Seri Negeri, Seri Bendahara dan kawasan Istana Melaka yang dijangka menjadi tumpuan orang ramai.
Beliau berkata, pihaknya telah membuat perancangan serta persediaan awal dengan mengambil kira pelbagai kemungkinan yang boleh berlaku sepanjang proses pengumuman keputusan pilihan raya berkenaan.
“Di pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita telah membuat perancangan sewajarnya dan mengenal pasti perkara yang dijangka berlaku serta perkara yang perlu dielakkan sebelum mengambil tindakan bersesuaian.
“Selain itu, kita menjangkakan malam ini akan agak ramai, terutama di empat lokasi ini dan kawasan berkenaan akan dipantau oleh pasukan polis,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau pusat pengundian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Telok Mas, di sini, hari ini.
Menurut Dzulkhairi, kekuatan anggota keselamatan turut ditambah dengan penempatan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) serta Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) bagi membantu memastikan keadaan di lokasi terbabit sentiasa terkawal.
“Memang ada pertambahan anggota. Selain FRU, kita turut menempatkan PORU bagi memastikan keadaan sentiasa terkawal.
“Langkah ini merupakan sebahagian daripada persediaan pasukan polis bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini serta memastikan keselamatan orang ramai sepanjang keputusan PRN Melaka Ke-16 diumumkan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


