PRN MELAKA: HELMY HARAP MELAKA JADI CONTOH KADAR KELUAR MENGUNDI TINGGI

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

DUYONG, 14 November – Melaka diharap mampu menjadi contoh kepada negeri lain dalam aspek komitmen rakyat menunaikan tanggungjawab demokrasi menerusi kadar keluar mengundi yang tinggi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Calon nombor 2 Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.23 Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, perkembangan kehadiran pengundi pada awal proses pengundian menunjukkan sambutan menggalakkan apabila kira-kira 70 peratus pengundi di Saluran 1 telah keluar mengundi dalam tempoh sejam pertama.

Mohd Noor Helmy berkata, beliau dimaklumkan mengenai kehadiran pengundi seawal jam 7 pagi, termasuk menerima gambar yang menunjukkan orang ramai mula beratur di pusat mengundi.

Bagaimanapun, katanya, kehadiran pengundi mula menunjukkan sedikit penurunan pada jam kedua berbanding tempoh sejam pertama.

“Daripada maklumat yang saya terima, kira-kira 70 peratus pengundi di Saluran 1 sudah keluar mengundi dalam tempoh sejam pertama.

“Saya berharap Melaka dapat menjadi contoh dengan mencatatkan kadar keluar mengundi yang tinggi walaupun dalam pilihan raya negeri,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menunaikan tanggungjawab mengundi di Sekolah Kebangsaan Seri Duyong, di sini, hari ini.

Beliau turut memaklumkan akan meneruskan pemantauan di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebelum melihat perkembangan proses pengundian pos.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

587
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: PASANGAN PENGANTIN TERLEBIH TERUJA, TERLUPA BAWA KAD PENGENALAN
Next post PRN MELAKA: TERLANTAR SAKIT, IBU CALON BN ASAHAN TETAP GAGAH TUNAI UNDI