
PRN MELAKA: 67.7 PERATUS KELUAR MENGUNDI SETAKAT 4.30 PETANG
AYER KEROH 14 November – Seramai 453,530 daripada keseluruhan 669,211 pengundi berdaftar telah menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, dengan peratusan keluar mengundi sebanyak 67.77 peratus setakat jam 4.30 petang ini.
Berdasarkan paparan Dashboard Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), DUN Serkam mencatatkan peratusan keluar mengundi tertinggi iaitu 77.21 peratus, diikuti Ayer Molek (76.15 peratus), Tanjung Bidara (74 peratus), Sungai Rambai (73.81 peratus) dan Duyong (72.63 peratus).
Sementara itu, Bandar Hilir merekodkan peratusan keluar mengundi terendah dengan 55.60 peratus, diikuti Kota Laksamana (60.22 peratus), Sungai Udang (61.10 peratus), Kesidang (62.66 peratus) dan Ayer Keroh (62.73 peratus).
Sebanyak 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) mencatatkan kadar keluar mengundi berbeza, dengan sebahagian besar kawasan merekodkan peratusan antara 60 hingga 70 peratus.
Antara kawasan lain yang mencatatkan peratusan keluar mengundi melebihi 70 peratus ialah Merlimau (71.65 peratus) dan Durian Tunggal (71.64 peratus).
Peratusan bagi kawasan lain ialah Pengkalan Batu (69.65 peratus), Telok Mas (69.46 peratus), Pantai Kundor (69.42 peratus), Kuala Linggi (69.41 peratus), Klebang (69.35 peratus), Rim (69.11 peratus), Paya Rumput (68.78 peratus), Machap Jaya (68.59 peratus), Taboh Naning (68.53 peratus), Rembia (68.34 peratus), Bukit Katil (68.29 peratus), Asahan (68.13 peratus), Bemban (66.92 peratus), Lendu (64.91 peratus) dan Gadek (63.71 peratus).
PRN Melaka ke-16 menyaksikan seramai 79 calon bertanding bagi merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan keseluruhan 687,697 pemilih berdaftar layak mengundi.
Sebanyak 240 pusat mengundi biasa dengan 1,213 saluran disediakan di seluruh negeri bagi membolehkan pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing bermula 8 pagi hingga 6 petang.
Pilihan raya kali ini diadakan susulan pembubaran DUN Melaka ke-15 pada 23 September lalu.
Pada PRN Melaka 2021, BN berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala PH memperoleh lima kerusi dan PN dua kerusi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


