
AB RAUF INGATKAN WAKIL RAKYAT, JAWATAN BUKAN KEISTIMEWAAN
SERI NEGERI 15 November – Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh memberi jaminan Kerajaan Negeri tidak akan berhenti berusaha dan bekerja dalam memperjuangkan kesejahteraan rakyat Melaka meskipun mengakui bukan semua isu serta cabaran mampu diselesaikan dalam tempoh singkat.
Beliau berkata, mandat baharu yang diberikan rakyat menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 perlu diterjemahkan kepada komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan dan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
“Saya tidak menjanjikan bahawa setiap isu dan cabaran dapat diselesaikan dalam sekelip mata. Tetapi saya berjanji bahawa kita tidak akan berhenti berusaha, tidak akan berhenti bekerja dan tidak akan sekali-kali berhenti memperjuangkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Terdahulu, Ab Rauf mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam pada istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan angkat sumpah jawatan, taat setia serta sumpah simpan rahsia.
Turut hadir pada istiadat itu adalah Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh serta lain-lain kenamaan.
Ab Rauf berkata, setiap wakil rakyat yang menerima mandat pada pilihan raya kali ini perlu menghayati tanggungjawab yang diberikan kerana jawatan disandang merupakan satu amanah, bukannya keistimewaan.
“Kepada rakan-rakan wakil rakyat yang telah menerima mandat, saya ingin berpesan, jangan sesekali kita lupa bahawa jawatan ini adalah amanah, bukannya keistimewaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), jentera parti, petugas pilihan raya, agensi keselamatan, penjawat awam serta semua pihak yang membantu memastikan proses demokrasi berjalan lancar.
Menurutnya, kerjasama semua pihak sepanjang proses pilihan raya berkenaan wajar dihargai dalam memastikan kelancaran perjalanan demokrasi di negeri ini.
Pada PRN Melaka Ke-16, gabungan BN-PN memperoleh 24 daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), sekali gus meraih majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk Kerajaan Negeri bagi penggal baharu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


