TOK LI MAHU BALAS KEPERCAYAAN PENGUNDI, PEMBANGUNAN KUALA LINGGI JADI KEUTAMAAN

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SERI NEGERI 16 November – Kepercayaan sekali lagi diberikan pengundi menjadi amanah besar buat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah untuk terus memperjuangkan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan itu.

Mesra disapa Cikgu Rosli atau Tok Li, beliau berkata kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bukan sekadar mandat untuk meneruskan khidmat, sebaliknya tanggungjawab yang perlu diterjemahkan menerusi pelaksanaan pembangunan yang memberi manfaat secara langsung kepada penduduk.

Katanya, antara fokus utama yang akan diberi perhatian ialah pembangunan infrastruktur, kebajikan rakyat serta penyediaan kemudahan lebih selesa khususnya kepada komuniti nelayan sekitar Kuala Linggi.

“Alhamdulillah, tiada yang berkuasa melainkan Allah SWT. Terima kasih setinggi-tingginya saya ucapkan kepada semua pengundi DUN Kuala Linggi.

“Insya-Allah saya akan fokus untuk melaksanakan pembangunan melibatkan infrastruktur, kebajikan rakyat dan menyediakan kemudahan seperti jeti yang lebih selesa untuk nelayan sekitar Kuala Linggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, semalam.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, Rosli yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi DUN Kuala Linggi dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 4,883 undi.

Beliau memperoleh 7,760 undi, manakala calon Pakatan Harapan (PH-Amanah), Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah mendapat 2,877 undi dan calon Bersama, Dr. Nur Farhana Hamzah memperoleh 439 undi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

196
Kongsi :
Previous post ‘SAYA KETUA MENTERI UNTUK SEMUA RAKYAT MELAKA’ – AB RAUF
Next post KETUA MENTERI MAHU KERAJAAN BAHARU SEGERA BEKERJA, BUKTIKAN JANJI