
MANDAT BAHARU, AMANAH TERUS BANGUNKAN DUYONG
SERI NEGERI 15 November – Mandat baharu yang diberikan rakyat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menjadi amanah dan tanggungjawab untuk beliau terus mempergiatkan usaha pembangunan kemudahan awam serta menjaga kebajikan penduduk.
Mohd Noor Helmy berkata, kepercayaan yang diberikan pengundi akan menjadi dorongan untuk beliau meneruskan segala perancangan dan usaha pembangunan yang sebelum ini tertangguh.
“Ini adalah satu amanah dan tanggungjawab yang harus saya laksanakan selepas ini. Terima kasih saya ucapkan kepada rakyat Duyong khususnya yang telah memberikan sokongan.
“Kita akan teruskan apa yang telah tergendala sebelum ini dan insya-Allah, mudah-mudahan selepas ini segala gerak kerja dapat dilaksanakan dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Mohd Noor Helmy berkata, kemenangan dengan majoriti 10,040 majoriti hasil kerja keras bukan sahaja jentera Barisan Nasional (BN) tetapi juga rakan strategik Perikatan Nasional (PN) yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
“Sokongan diberikan juga mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dalam menerajui pentadbiran dan pembangunan Melaka.
“Selain kerjasama erat antara jentera parti sepanjang kempen pilihan raya saya juga percaya (kemenangan) perolehan undi itu ada,” katanya.
Pada PRN Melaka Ke-16, Mohd Noor Helmy berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) dan berjaya mempertahankan kerusi berkenaan apabila memperoleh 15,067 undi, mengatasi pencabarnya yang meraih 5,027 undi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


