
SITI AISYAH TERHARU SOKONGAN PENGUNDI MUDA, TEKAD BINA MASA DEPAN PENGKALAN BATU
SERI NEGERI 15 November – Sebagai orang baharu, sokongan luar jangka daripada pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 amat menyentuh hati Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pengkalan Batu Siti Aisyah Mahmood
Siti Aisyah berkata, usaha meyakinkan rakyat di DUN Pengkalan Batu untuk memberikan mandat kepada dirinya adalah hasil daripada kerjasama serta kesungguhan jenteraBarisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya rasa amat bersyukur atas kemenangan BN di Pengkalan Batu. Saya tidak menyangka begitu ramai yang memberikan sokongan dan saya lihat gabungan antara BN dan PN ini membuahkan hasil.
“Sokongan orang muda juga amat tinggi. Saluran anak muda antara yang menyumbang kepada kemenangan saya di DUN Pengkalan Batu,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.
Pada PRN Melaka Ke-16, Siti Aisyah memperoleh 11,836 undi dengan majoriti 6,358 undi, menewaskan tiga pencabar iaitu Jason Tze-Xi Nathan daripada Pakatan Harapan (PH) yang mendapat 5,478 undi, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bersatu) dengan 876 undi dan Goh Han Koon (Bersama) yang memperoleh 618 undi.
Keputusan itu menyaksikan kerusi berkenaan kekal dikuasai BN selepas penyandang sebelum ini, Datuk Kalsom Noordin turut memenanginya pada PRN 2021 dengan majoriti 131 undi.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera parti dan pengundi yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk membawa suara serta memperjuangkan kepentingan penduduk di kawasan berkenaan.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pengundi DUN Pengkalan Batu yang telah memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada saya untuk memimpin dan membina masa depan baharu di DUN Pengkalan Batu. Mari kita sama-sama bina Pengkalan Batu bersama,” katanya.
Mengulas perancangannya selepas menerima mandat sebagai wakil rakyat, Siti Aisyah berkata, tumpuan utamanya adalah meneruskan usaha kebajikan serta memastikan kesejahteraan dan keselesaan penduduk di DUN Pengkalan Batu terus terpelihara.
“Perkara pertama yang akan saya lakukan ialah meneruskan kerja-kerja kebajikan untuk menjaga rakyat di DUN Pengkalan Batu dan memastikan keselesaan mereka dijaga dengan sebaik-baiknya selepas ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


