MENANG MAJORITI BESAR BAKAR SEMANGAT AZRIL REALISASI ‘TEKAD KELUARGA REMBIA’

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

SERI NEGERI 16 November – Kejayaan meraih majoriti 5,993 undi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menjadi pembakar semangat kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz untuk memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat di kawasan berkenaan.

Ahmad Norazril berkata, sejak awal kempen, beliau tidak meletakkan jumlah majoriti sebagai sasaran utama, sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha mendekati pengundi dan memastikan kemenangan.

Menurutnya, mandat besar yang diterima itu disambut dengan penuh kesyukuran dan menjadi dorongan untuk terus berbakti kepada seluruh warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia.

“Sebenarnya saya bergerak dan bekerja tanpa fokus kepada berapa majoriti yang akan diperoleh. Saya hanya fokus untuk mencapai kemenangan.

“Apa yang diterima ini, Alhamdulillah, saya bersyukur dan ia menjadi satu kekuatan untuk saya terus berkhidmat kepada warga Rembia,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, pada Ahad.

Pada PRN Melaka Ke-16, Ahmad Norazril yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Rembia dengan memperoleh 10,915 undi dan majoriti 5,993 undi.

Beliau menewaskan dua pencabar iaitu Mohd Khuzairie Mohd Kamal Kannan daripada Pakatan Harapan (PH-PKR) yang memperoleh 4,922 undi, manakala Mohamed Aman Akil Abdul Talib daripada Parti BERSAMA mendapat 758 undi.

Mengulas perancangan selepas menerima mandat, Ahmad Norazril berkata, tumpuan kini diberikan kepada penelitian dan pelaksanaan setiap inisiatif yang digariskan menerusi manifesto ‘Tekad Keluarga Rembia’.

Katanya, beliau akan meneliti satu persatu tawaran berkenaan bagi memastikan setiap perancangan dapat diterjemahkan kepada usaha pembangunan dan kesejahteraan penduduk.

“Insya-Allah, saya akan lihat satu persatu khususnya melalui ‘Tekad Keluarga Rembia’. Saya akan perhalusi satu persatu setiap yang telah saya azamkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

236
Kongsi :
Previous post MANDAT BAHARU, BAN HONG TUMPU NAIK TARAF KEMUDAHAN KESIHATAN DUN KELEBANG