‘UNDI ATAU TIDAK, SAYA WAKIL RAKYAT SEMUA WARGA GADEK’ – NADARAJAH

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

SERI NEGERI 16 November – Tidak membezakan sokongan politik menjadi prinsip dipegang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, S. Nadarajah dalam memberikan perkhidmatan kepada seluruh penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, meskipun ada pengundi yang tidak memilihnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, tanggungjawab sebagai wakil rakyat menuntutnya untuk berkhidmat kepada semua tanpa mengira kecenderungan politik.

“Ada sebahagian yang memang tidak mengundi saya. Tetapi apabila saya sudah menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, saya adalah wakil rakyat untuk semua lapisan masyarakat.

“Sama ada mereka mengundi saya ataupun tidak, saya akan berkhidmat sepenuhnya untuk DUN Gadek,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, pada Ahad.

Pada PRN Melaka Ke-16, Nadarajah yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi kerusi DUN Gadek dengan memperoleh 6,472 undi dan majoriti 3,514 undi.

Beliau menewaskan tiga pencabar iaitu K. Jegasilan daripada Pakatan Harapan (PH-DAP), B. Laveen daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama) dan Laila Norinda Maon daripada Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Keputusan itu menyaksikan kerusi berkenaan kekal dikuasai BN selepas penyandang sebelum ini, Datuk V.P. Shanmugam turut memenanginya pada PRN 2021 dengan majoriti 559 undi.

Mengulas kejayaannya memenangi kerusi berkenaan sebagai calon baharu, Nadarajah menyifatkan sokongan yang diterima turut dipengaruhi keyakinan rakyat terhadap prestasi pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh sepanjang tiga tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau turut melihat penyatuan ummah dan kerjasama strategik antara BN dan Perikatan Nasional (PN) sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kemenangan pada pilihan raya kali ini.

“Penyatuan ummah iaitu rakan strategik kita pada pilihan raya kali ini amat memberi manfaat kepada kemenangan.

“Saya lihat itu satu era politik baharu yang akan memberikan dimensi baharu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

208
Kongsi :
Previous post TIGA AGENDA UTAMA MOHD RIDHWAN PERKASA AYER MOLEK