
MANDAT BAHARU, BAN HONG TUMPU NAIK TARAF KEMUDAHAN KESIHATAN DUN KELEBANG
SERI NEGERI 16 November – Menyegerakan usaha penambahbaikan dua kemudahan kesihatan menjadi antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelebang, Datuk Wira Lim Ban Hong selepas menerima mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau berkata, perhatian khusus akan diberikan kepada Klinik Kesihatan Bukit Rambai dan Klinik Kesihatan Klebang Besar bagi memastikan penduduk setempat mendapat kemudahan serta perkhidmatan kesihatan yang lebih baik.
Menurutnya, kedua-dua fasiliti berkenaan sudah dikenal pasti memerlukan penambahbaikan, justeru beliau akan membantu menyelaraskan usaha berkaitan bagi mempercepat proses pelaksanaannya.
“Dalam laporan pencapaian dan manifesto, saya menyentuh pelbagai perkara termasuk kesihatan dan semua ini akan diberi keutamaan.
“Contohnya Klinik Kesihatan Bukit Rambai, ia telah dinaik taraf dari segi peralatan perubatan, manakala tanah di hadapan klinik telah diambil alih oleh Kerajaan untuk pembinaan klinik baharu dan kini digunakan sebagai tempat letak kereta,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, pada Ahad.
Pada PRN Melaka Ke-16, Ban Hong yang mewakili Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang dengan memperoleh 12,522 undi dan majoriti 7,035 undi.
Beliau menewaskan tiga pencabar iaitu Farzana Hayani Mohd Nasir daripada Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 5,487 undi, Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) dengan 940 undi dan Young Jie Yu (Bersama) yang mendapat 749 undi.
Keputusan itu menyaksikan peningkatan majoriti sebanyak 6,159 undi berbanding PRN 2021 apabila Ban Hong turut memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 876 undi.
Mengulas lanjut mengenai Klinik Kesihatan Klebang Besar, Ban Hong berkata, terdapat cadangan untuk memindahkan fasiliti berkenaan ke tapak baharu yang lebih luas dan strategik, iaitu di atas tanah seluas empat ekar berhampiran Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).
Katanya, mandat baharu yang diterima akan dimanfaatkan untuk membantu mempercepat urusan berkaitan kedua-dua projek berkenaan.
“Selaku penerima mandat baharu ini, saya akan membantu untuk mempercepatkan kedua-dua kerja naik taraf di Klinik Kesihatan Bukit Rambai dan Klebang Besar ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

