
ADUAN PENDUDUK LENDU KINI DI HUJUNG JARI, WHATSAPP KHAS DIBUKA
LENDU 17 November – Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Lendu kini mempunyai saluran lebih mudah dan pantas untuk menyampaikan aduan serta permasalahan setempat menerusi talian WhatsApp khas Pusat Aduan DUN Lendu di 019-678 6085.
Inisiatif yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan Japerun Lendu itu bertujuan memudahkan penduduk menyalurkan pelbagai aduan berkaitan isu masyarakat, persekitaran dan kemudahan awam di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, kemudahan itu disediakan bagi memastikan setiap aduan penduduk dapat disampaikan dengan lebih teratur, sekali gus memudahkan pihaknya melakukan semakan dan tindakan susulan.
Menurutnya, penduduk hanya perlu menghantar aduan berserta lokasi tepat, ringkasan permasalahan serta gambar sebagai bukti sokongan sekiranya ada.
“Untuk memudahkan tuan-tuan dan puan-puan menyampaikan aduan, saya dan pasukan menyediakan satu talian WhatsApp khas bagi isu dalam kawasan DUN N.04 Lendu.
“Insya-Allah, kami akan cuba memberi maklum balas secepat mungkin dan mengambil tindakan susulan mengikut jenis aduan. Simpan nombor ini dan kongsikan dengan jiran serta ahli keluarga di Lendu,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Abdul Hakim berkata, penggunaan platform WhatsApp sebagai medium aduan turut mengambil kira perkembangan teknologi semasa selain menyokong agenda pendigitalan Kerajaan Negeri Melaka.
Jelasnya, skop aduan yang boleh dikemukakan merangkumi pelbagai aspek termasuk sistem pengurusan masyarakat, persekitaran serta apa sahaja permasalahan yang dihadapi penduduk di kawasan DUN Lendu.
Beliau berharap kemudahan itu dapat meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat selain melancarkan urusan pengurusan aduan di peringkat kawasan.
Penduduk DUN Lendu yang mempunyai sebarang aduan atau permasalahan boleh menghubungi talian WhatsApp 019-678 6085 dengan menyertakan maklumat lengkap bagi memudahkan tindakan pihak berkaitan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

