‘WAJAH’ BAHARU PELANCONGAN MELAKA JADI MISI FAIRUL NIZAM

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

SERI NEGERI 19 November – Meninjau sendiri kawasan pelancongan serta bertemu penggiat industri pelancongan menjadi antara gerak kerja awal Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan selepas dilantik sebagai Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan negeri.

Beliau berkata, pendekatan turun padang itu penting bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai keadaan sebenar sektor pelancongan Melaka, selain mengenal pasti ruang yang boleh ditambah baik.

Menurutnya, pengalaman baharu mengendalikan portfolio berkenaan akan dimanfaatkan sebaik mungkin dengan mendapatkan pandangan pihak berkepentingan sebelum merangka langkah seterusnya.

“Saya nak melihat sendiri kawasan-kawasan pelancongan kita, bertemu dengan semua pengurus, pengendali produk pelancongan dan sebagainya.

“Kemudian apa saja inti pati atau cadangan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dalam sektor pelancongan ini kita akan tambah baik,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Fairul Nizam berkata, beliau akan melaksanakan tanggungjawab itu dengan bimbingan Ketua Menteri, selain bekerjasama dengan Timbalan Exco beliau, Datuk Azman Abdullah.

Sebelum ini, Fairul Nizam menjawat jawatan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri bagi tempoh 2023 hingga 2026.

Untuk rekod, Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berjaya mempertahankan kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 selepas memperoleh 11,731 undi dengan majoriti 9,158 undi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

268
Kongsi :
Previous post PENGALAMAN KAWAL PENYAKIT KETIKA BENCANA BEKALAN RIDZUAN GALAS TUGAS EXCO
Next post MANDAT BAHARU BUKAN TIKET SELESA, AB RAUF TUNTUT KERAJAAN MELAKA BEKERJA LEBIH KERAS