
MANDAT BAHARU BUKAN TIKET SELESA, AB RAUF TUNTUT KERAJAAN MELAKA BEKERJA LEBIH KERAS
SERI NEGERI 19 November – Mandat baharu yang diberikan rakyat bukan tiket untuk berasa selesa, sebaliknya menuntut seluruh barisan pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka bekerja lebih kuat, pantas dan berkesan dalam memastikan kepentingan rakyat terus menjadi keutamaan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, setiap ikrar yang dilafazkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bukan sekadar janji di bibir, tetapi amanah yang perlu diterjemahkan menerusi tindakan dan khidmat kepada rakyat.
Menurutnya, setiap anggota pentadbiran perlu mengutamakan prinsip keadilan, kejujuran serta meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Ingatlah, ikrar yang dilafazkan ini bukan sekadar ikrar di bibir, tetapi janji yang terpahat pada amanah. Janji untuk berlaku adil, berkhidmat dengan jujur dan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan taat setia Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, semua pihak kini perlu mengetepikan perbezaan dan menyatukan tenaga bagi memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pembangunan negeri demi kepentingan seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun fahaman politik.
“Kini tibalah masanya untuk kita merapatkan saf, menyatukan tenaga dan menumpukan sepenuh jiwa kepada pembangunan negeri. Kita adalah kerajaan untuk seluruh rakyat Melaka, tanpa mengira kaum, agama, latar belakang mahupun perbezaan fahaman politik,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


