TAMAN REKREASI BUKIT BERINGIN BUKAN KAWASAN TERNAKAN – ABDUL HAKIM

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

LENDU 24 November – Pemilik ternakan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Lendu diingatkan supaya lebih bertanggungjawab dengan mengawal haiwan peliharaan masing-masing agar tidak berkeliaran di tempat awam sehingga mengganggu keselesaan masyarakat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid berkata, tindakan membiarkan haiwan ternakan berkeliaran di Taman Rekreasi Bukit Beringin menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk yang menggunakan kawasan berkenaan untuk aktiviti riadah.

Menurutnya, taman rekreasi itu merupakan kemudahan awam yang disediakan khusus untuk kegunaan masyarakat setempat dan sewajarnya berada dalam keadaan bersih serta selesa.

Beliau yang juga Timbalan Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri berkata, beliau sendiri turun padang meninjau keadaan lokasi berkenaan susulan aduan yang diterima daripada penduduk.

Katanya, hasil tinjauan itu mendapati terdapat najis haiwan ternakan di kawasan rekreasi berkenaan, sekali gus memerlukan kerja pembersihan oleh petugas SWM Environment.

Abdul Hakim merakamkan penghargaan kepada petugas SWM Environment yang mengambil tindakan membersihkan kawasan berkenaan, namun menegaskan tanggungjawab menjaga kebersihan tidak seharusnya diletakkan sepenuhnya di bahu petugas pembersihan.

“Terima kasih kepada petugas SWM yang turun membersihkan kawasan ini. Namun, tugas mereka bukanlah untuk membersihkan najis lembu setiap hari,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Sehubungan itu, Abdul Hakim berharap pemilik ternakan tampil memberikan kerjasama dengan memastikan haiwan masing-masing dikawal dan tidak dibiarkan memasuki kawasan awam.

Memandang serius perkara itu, beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil dalam masa terdekat sekiranya masalah berkenaan terus berulang.

Katanya, sikap bertanggungjawab semua pihak amat penting bagi memastikan kemudahan rekreasi awam sentiasa bersih, terpelihara dan selesa untuk dinikmati seluruh masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

306
Kongsi :
Previous post MAIM TAJA 20 MUALAF, KAKITANGAN TUNAI UMRAH