MAIM SALUR LEBIH RM440,000 UNTUK PERSIAPAN SEKOLAH ANAK ASNAF JASIN

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

BEMBAN 25 November – Seramai 1,261 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf di Parlimen Jasin menerima manfaat sumbangan persediaan persekolahan yang disalurkan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berjumlah RM441,350.

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, setiap penerima yang layak menerima sumbangan RM350 bagi membantu meringankan beban keluarga menyediakan kelengkapan anak-anak menjelang sesi persekolahan baharu pada 2027.

Beliau berkata, agihan bagi Parlimen Jasin itu merupakan siri pertama sebelum diteruskan ke lima lagi parlimen lain iaitu Kota Melaka, Tangga Batu, Alor Gajah, Masjid Tanah dan Hang Tuah Jaya.

“Pada sesi sumbangan kali ini kita memperuntukkan sebanyak RM441,350 yang membabitkan seramai 1,261 orang penerima.

“Sejumlah RM350 diperuntukkan untuk setiap anak asnaf yang layak dan masih bersekolah. Misalnya sebuah keluarga mempunyai dua anak mereka layak menerima RM700.

“Kelengkapan persekolahan yang kita sediakan bukan sahaja seragam sekolah tetapi juga, kasut, beg dan juga alat tulis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyampaian Program Jom Ke Sekolah 2027M/1448H Bagi Anak-anak Asnaf, Fakir, Miskin Dan Mualaf MAIM, di Dewan Tok Senara, pada Sabtu.

Terdahulu, majlis disempurnakan Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom dan hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bemban Dr. Mohd Yadzil Yaakub serta Pengurus Besar MAIM Holding Berhad, Amirul Basiron.

Menurutnya, bagi peringkat Parlimen Jasin, penerima boleh hadir untuk mengambil barangan keperluan di Dewan Tok Senara bermula 21 sehingga 24 November ini.

“Untuk hari pertama sehingga jam 12.30 tengah hari seramai 100 penerima telah hadir dan membabitkan perbelanjaan sebanyak RM35,000.

“Di pihak MAIM kami menggalakkan ibu bapa untuk hadir lebih awal bagi mengambil kelengkapan persekolahan anak-anak dan jangan tunggu saat akhir.

“Ini kerana sepanjang empat hari ini mereka boleh hadir setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam untuk membuat pilihan kelengkapan sekolah yang mereka perlukan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

267
Kongsi :
Previous post CSR SAMBIL KENALI HIDUPAN LIAR, ZOO MELAKA SEDIA PLATFORM