
LIMA TAHUN MENGENAL ISLAM, NUR IZZAH SYUKUR DIJEMPUT KE TANAH SUCI
PENGKALAN BATU 26 November – Hampir lima tahun mengenali dan menghayati Islam, saudara baharu, Nur Izzah Aisyah Jifson Jiff, 27, tidak menyangka perjalanan hidupnya membawa kepada satu peluang cukup bermakna apabila terpilih menunaikan umrah menerusi tajaan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM).
Berasal dari Kota Marudu, Sabah, Nur Izzah yang memeluk Islam pada 2021 menyifatkan peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci itu sebagai rezeki yang amat disyukuri, apatah lagi ia hadir sebagai satu pengalaman istimewa dalam perjalanan hidupnya sebagai seorang mualaf.
Katanya, pemilihan itu sesuatu yang tidak pernah dijangka, malah beliau amat terharu apabila diberikan peluang untuk menunaikan ibadah umrah bersama peserta lain.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada MAIM yang banyak membantu serta memberi peluang kepada golongan mualaf seperti saya.
“Saya tidak sangka terpilih dan amat menghargai peluang yang diberikan ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini pada majlis pelepasan peserta program umrah MAIM membabitkan 20 peserta di Pusat Islam MAIM, di sini, pada Ahad.

Nur Izzah yang kini menetap di Melaka bersama suami dan anak berkata, sokongan serta bantuan MAIM memberi makna besar kepadanya sepanjang menjalani kehidupan sebagai saudara baharu.
Menurutnya, perhatian yang diberikan kepada golongan mualaf bukan sahaja membantu dari sudut kebajikan, malah membuatkan mereka berasa dihargai dan terus mendapat sokongan dalam menjalani kehidupan.
“Peluang ini pastinya menjadi satu pengalaman istimewa yang akan dikenang oleh saya sampai bila-bila.
“Ini adalah anugerah yang menyuntik rasa syukur atas rezeki dan ruang yang diberikan kepada saya untuk terus melangkah dalam perjalanan hidup yang lebih panjang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

