JUALAN MESRA 2027: PENIAGA SETEMPAT DIBERI KEUTAMAAN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 26 November – Kerajaan Negeri mahu memberi ruang lebih besar kepada usahawan tempatan khususnya usahawan Bumiputera untuk menyertai program Jualan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang dilaksanakan bagi membantu rakyat menangani kos sara hidup bermula tahun hadapan.

Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Rais Yasin berkata, pendekatan itu akan menjadi antara penambahbaikan dalam penyelarasan program tersebut.

Katanya, Kerajaan Negeri bukan hanya mahu memastikan rakyat mendapat barangan keperluan pada harga lebih rendah, malah mahu peluang ekonomi yang diwujudkan menerusi program berkenaan turut dinikmati peniaga setempat.

“Selain daripada kita mahu membantu rakyat membeli barang dengan harga murah, kita juga mahu penyertaan usahawan terutama usahawan Bumiputera setempat dan kalau boleh daripada kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sendiri terlibat dalam Jualan MeSRa ini nanti.

“Contohnya, kalau ada usahawan ayam dari kawasan berkenaan, kita mahu mereka diberikan peluang menyertai program jualan ini, begitu juga di kawasan-kawasan lain, kita tidak mahu hanya satu usahawan yang terlibat di semua lokasi jualan.

“Dan dalam masa yang sama kerjasama dengan agensi berkaitan termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan terus diperkukuh bagi memastikan pelaksanaan program Jualan MeSRa mencapai matlamat ditetapkan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Post Exco penyelarasan portfolio Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri, di Wisma Negeri, di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rais berkata, keutamaan boleh diberikan kepada usahawan dari kawasan DUN sekiranya terdapat peniaga yang berupaya menawarkan harga bersesuaian, sebelum diperluaskan kepada usahawan dari kawasan Parlimen sama.

Jelasnya, pendekatan itu penting bagi memastikan program bantuan Kerajaan Negeri tidak hanya tertumpu kepada pengguna, sebaliknya turut menjadi platform memperkukuh perniagaan dan pendapatan usahawan tempatan.

“Kita mahu usahawan daripada kawasan itu sendiri turut mendapat manfaat. Kalau mereka mampu menawarkan harga yang ditetapkan dengan bantuan subsidi diberikan, kita mahu mereka menyertai program Jualan MeSRa ini.

“Jadi, satu pihak dapat membeli barangan pada harga lebih murah, manakala satu pihak lagi mendapat peluang untuk mengembangkan perniagaan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

257
Kongsi :
Previous post DR. AKMAL MAHU AKSES INTERNET JADI KEUTAMAAN KERAJAAN NEGERI