
TABIKA, TASKA PERPADUAN LAHIRKAN ANAK-ANAK LEBIH BERKEYAKINAN
AYER KEROH 27 November – Pendidikan awal dilaksanakan di Tabika Perpaduan amat penting sebagai persediaan kanak-kanak sebelum melangkah ke tahun satu, kata Exco Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan negeri Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, sistem pendidikan di Tabika Perpaduan membentuk murid yang memiliki keupayaan berkomunikasi, lebih berkeyakinan, berdisiplin dan tidak kekok bergaul dengan masyarakat.
“Semua ciri-ciri itu dapat dilihat ketika mereka membuat persembahan, semua yang mengambil bahagian tampil dengan penuh keyakinan dan tidak malu ketika beraksi di hadapan penonton yang ramai.
“Selepas habis belajar di tabika, murid-murid ini sudah boleh menguasai teknik komunikasi dan mempunyai keyakinan diri untuk berhadapan dengan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Program Generasi Cilik Perpaduan: Hari Konvokesyen Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 di Dewan World Youth Foundation (WYF), di sini, semalam.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Melaka Intan Suhana Yusuff dan Timbalan Pengarah JPNIN Negeri Melaka Kristina Sipin.
Menurut Fairul Nizam , pembentukan disiplin sejak kecil turut memberi kesan kepada tingkah laku kanak-kanak di rumah apabila mereka mula membiasakan diri dengan kehidupan lebih teratur.
“Justeru, ibu bapa diminta supaya tidak berlengah-lengah memberikan pendedahan pendidikan awal kepada anak-anak, bermula usia empat tahun supaya mereka mula didedahkan kepada persekitaran pembelajaran,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

