
MELAKA CATAT TAHAP RASUAH TERENDAH, INTEGRITI TERUS DIPERKASA
BANDA HILIR 27 November – Melaka mencatatkan tahap perlakuan rasuah terendah di negara ini berdasarkan Kajian Tahap Rasuah Perkhidmatan Awam 2025 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sekali gus mencerminkan usaha berterusan memperkukuh integriti dalam pentadbiran negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, Pelan Antirasuah Negeri Melaka 2022 hingga 2026 menjadi kerangka penting dalam mengenal pasti risiko rasuah, memperkukuh langkah pencegahan serta menambah baik sistem dan tatacara kerja di setiap peringkat pentadbiran.
Menurutnya, usaha membudayakan integriti dalam perkhidmatan awam turut diperkasakan menerusi peluncuran Laman Integriti hasil kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) bagi mendekatkan nilai integriti kepada masyarakat.
“Apa yang kita saksikan pada hari ini bukan sekadar peluncuran sebuah laman baharu, tetapi merupakan usaha menjadikan integriti sebagai pegangan dalam setiap keputusan dan tindakan, bukan sekadar tercatat dalam dasar atau terpampang pada dinding organisasi.
“Kuasa yang diamanahkan kepada kita bukanlah suatu keistimewaan, tetapi tanggungjawab yang wajib kita tunaikan sebaik-baiknya,” katanya pada Program Peluncuran Laman Integriti MBMB dengan Kerjasama IIM Sempena Sambutan Hari Integriti Nasional Tahun 2026 di Taman Bunga Merdeka, di sini, pada Khamis.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa, Jezlee Pit.
Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Operasi IIM, Izal Arif Zahrudin; Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff serta Timbalan Ketua Ahli Majlis MBMB, Zamani Md Isa.
Ab Rauf berkata, setiap jabatan dan agensi Kerajaan Negeri mempunyai tanggungjawab besar dalam memperkukuh budaya integriti, lebih-lebih lagi MBMB sebagai barisan hadapan kerajaan yang berurusan secara langsung dengan masyarakat.
Menurutnya, urusan melibatkan pelesenan, kelulusan pembangunan, kebersihan bandar, penyelenggaraan kemudahan awam serta pengurusan aduan merupakan antara aspek yang mencerminkan kecekapan dan kewibawaan pentadbiran kerajaan.
Justeru, katanya, prinsip integriti tidak boleh dikompromi dalam usaha meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan, khususnya membabitkan penguatkuasaan, pengurusan kewangan dan perolehan awam.
“Setiap keputusan mesti dibuat dengan adil, setiap ringgit wang rakyat diurus dengan berhemah dan setiap tindakan hendaklah bebas daripada kepentingan peribadi.
“Apa yang boleh dipermudah, kita permudahkan; apa yang boleh dipercepat, kita percepatkan; dan apa yang telah diamanahkan, kita sempurnakan dengan penuh integriti,” katanya.
Tambahnya, kerjasama antara MBMB dengan IIM diharap dapat terus diperkukuh menerusi pelaksanaan program latihan, penilaian risiko rasuah serta penambahbaikan sistem kerja bagi memastikan Laman Integriti menjadi wadah membudayakan amalan kerja berintegriti dalam kalangan warga organisasi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

