PROGRAM INTEGRITI AMALAN SETIAP PBT DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDA HILIR 28 November – Setiap jabatan di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melaksanakan program tersendiri bagi meningkatkan tahap integriti.

Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa, Jezlee Pit berkata, penganjuran program integriti di bawah kelolaan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) juga dirancang untuk diadakan secara terbuka di kawasan awam.

Menurutnya, pendekatan terbuka di lokasi tumpuan orang ramai itu bertujuan membolehkan masyarakat menyaksikan sendiri kesungguhan serta inisiatif kerajaan dalam memerangi isu rasuah secara menyeluruh.

“Untuk peringkat Kerajaan Negeri sendiri, memang di setiap jabatan sudah tentu ada program tersendiri untuk meningkatkan integriti dan di peringkat PBT ini, kita buat sebaik mungkin bagi memastikan nilai berkenaan berada di semua peringkat pengurusan.

“Memandangkan ini kawasan awam, program dibuat secara terbuka supaya rakyat dapat melihat sendiri inisiatif kerajaan untuk kita sama-sama serius dalam menangani isu rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Peluncuran Laman Integriti Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Sempena Sambutan Hari Integriti Nasional Tahun 2026 di Taman Bunga Merdeka, Banda Hilir, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman; Ketua Pegawai Operasi Institut Integriti Malaysia (IIM), Izal Arif Zahrudin; Setiausaha MBMB, Muhammad Firdaus Shariff dan Timbalan Ketua Ahli Majlis MBMB, Zamani Md Isa.

Jezlee menjelaskan, kesinambungan program seumpama itu bersama pihak sekolah pada masa hadapan bergantung kepada perancangan bersama IIM selaku rakan pelaksana.

“Program ini dilaksanakan bersama IIM, justeru sekiranya ada program baik sebegini yang boleh dijalankan secara kerjasama dengan sekolah-sekolah, ia adalah satu langkah yang sangat baik,” katanya.

Tambahnya, usaha penerapan nilai murni kepada semua lapisan masyarakat itu bukan sekadar penganjuran acara semata-mata, sebaliknya penting dalam membangunkan generasi masa depan yang lebih baik.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

300
Kongsi :
Previous post BANJIR JEJAS JAMBATAN KUALA SUNGGA, KESELAMATAN JADI KEUTAMAAN HAMEED
Next post MELAKA SASAR TINGKAT INDEKS KESEJAHTERAAN KELUARGA