IMAM PARLIMEN, DUN MESTI TURUN PADANG, SELARAS PROGRAM MASJID

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

BUKIT PALAH 27 November – Peranan imam Dewan Undangan Negeri (DUN) akan diperkasakan lagi, khususnya dalam menyelaras penganjuran program menghidupkan majlis ilmu dan mengimarahkan masjid di kawasan seliaan masing-masing.

Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Rais Yasin berkata, semua imam DUN diminta untuk bekerjasama dengan jawatankuasa masjid bagi memastikan masjid kariah terus diimarahkan dengan program memberikan faedah kepada masyarakat Islam setempat.

Katanya, sehubungan itu imam DUN tidak boleh lagi membataskan peranan mereka kepada aspek tertentu sahaja, sebaliknya mengambil tahu perkembangan semua masjid di bawah tanggungjawab mereka.

“Ini bukan satu amaran tetapi satu pesanan kepada mereka, kerana kita ada enam imam Parlimen dan 28 imam DUN, jadi antara tugasan utama yang mesti dilaksanakan adalah memastikan masjid-masjid di bawah kelolaan mereka diimarahkan dengan pelbagai program memberikan faedah kepada masyarakat Muslim setempat.

“Kita tidak mahu program dilaksanakan hanya bergantung kepada inisiatif pengerusi atau jawatankuasa masjid sahaja, imam DUN mesti jalankan tugas selain mesti cakna hal ehwal masjid,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Konvensyen Masjid dan Surau Negeri Melaka 2026 di Auditorium Masjid Al-Azim Bukit Palah, di sini.

Hadir sama pada konvensyen itu ialah Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad.

Rais berkata, bagi memastikan saranan itu dilaksanakan beliau akan melakukan lawatan mengejut selain mendapatkan maklum balas daripada pemimpin setempat.

Jelasnya, ketegasan itu bertujuan untuk memperkemas lagi pelaksanaan tugas imam DUN.

“Sudah tentulah kita semua nak secara harmoni, Jadi saya yakin mereka tahu peranan mereka dan pihak Jabatan Agama Islam (JAIM), saya sendiri akan turun bersama-sama untuk bimbing mereka.

“Setakat ini kita tidak ambil apa-apa tindakan (jika tidak turun ke DUN) cuma pesanan saya adalah pastikan bermula daripada sekarang dan kalau anda sudah lakukan, alhamdulillah, tambah baik, jika belum lakukan, pastikan lakukan bermula hari ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

232
Kongsi :
Previous post SEGERAKAN PROJEK SUKAN TERTANGGUH, KOMPLEKS BEMBAN JADI KEUTAMAAN