3.5 JUTA PELANCONG KESIHATAN PILIH MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

BANDARAYA MELAKA 27 November – Melaka merekodkan lebih 3.5 juta kedatangan pelancong kesihatan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, sekali gus memperlihatkan potensi besar negeri itu sebagai destinasi pelancongan perubatan serantau.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, daripada jumlah itu, lebih 608,000 pelancong kesihatan mendapatkan perkhidmatan di Putra Specialist Hospital (PSH), termasuk 13,736 pelancong dari Indonesia.

Malah, bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini sahaja, Melaka menerima hampir 700,000 pelancong kesihatan dengan hampir 100,000 daripadanya mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Menurutnya, pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan potensi pertumbuhan industri pelancongan perubatan negeri, malah menunjukkan keyakinan pelancong terhadap kepakaran serta mutu perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan di Melaka.

“Angka ini bukan sahaja mencerminkan potensi pertumbuhan industri pelancongan perubatan negeri, malah menggambarkan kepercayaan terhadap kepakaran serta mutu perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan di Melaka.

“Namun, dalam industri yang semakin kompetitif ini, kita tidak boleh terus bergantung kepada reputasi yang telah kita bina. Kita mesti berusaha untuk menjadi antara destinasi utama pelancongan perubatan di rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sistem Revolution Vibe Advanced CT Scan di Lobi Putra Specialist Hospital (PSH) Melaka Sdn Bhd, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri Datuk Wira Lim Ban Hong; Timbalan Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Timbalan Exco Pelaburan dan Industri negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PSH Melaka Sdn Bhd Mohd Zahiruddin Ahmad serta Pengurus Zon GE HealthCare bagi Singapura, Kemboja, Myanmar, Brunei dan Laos, Dede Yan.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, kemajuan teknologi perubatan yang dibawa ke Melaka tidak seharusnya sekadar menjadi kebanggaan sesebuah institusi, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dinikmati rakyat selaras dengan aspirasi Melaka Sayang Rakyat (MeSRa).

Katanya, PSH yang juga anak syarikat Kerajaan Negeri perlu terus memberikan perhatian terhadap aspek aksesibiliti dan kemampuan rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti.

“Saya mahu PSH yang juga anak syarikat Kerajaan Negeri terus memberikan perhatian terhadap aspek aksesibiliti dan kemampuan rakyat mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti.

“Saya juga ingin menitipkan satu amanat kepada seluruh warga Putra Specialist Hospital agar sentiasa berpegang kepada satu prinsip, bahawa teknologi bertaraf dunia mesti seiring dengan perkhidmatan bertaraf dunia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

378
Kongsi :
Previous post KUM LEPASI SASARAN, MELAKA MILIKI 1,477 TIANG FIBER GUNA SAMA