TIGA PESANAN TUN DR. MOHD ALI BUAT GRADUAN

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

AYER KEROH 28 November – Graduan universiti diminta menjadi pelajar sepanjang hayat, berani membuat pertimbangan dan menggunakan ilmu untuk memberi manfaat kepada masyarakat dalam mendepani dunia yang semakin pantas berubah.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, tiga amanat itu penting sebagai panduan graduan membina masa depan, khususnya ketika berhadapan perubahan teknologi dan keperluan kemahiran baharu.

Menurutnya, graduan perlu sentiasa bersedia mempelajari perkara baharu dan tidak takut menguasai teknologi, namun pada masa sama tidak membiarkan kecanggihan alat mengehadkan daya pemikiran sendiri.

“Pertama, jadilah pelajar sepanjang hayat. Kemahiran yang bernilai hari ini mungkin berubah esok. Jangan takut mempelajari teknologi baharu, tetapi jangan biarkan teknologi mengehadkan daya fikir sendiri.

“Kedua, jadilah insan yang berani membuat pertimbangan. Apabila berhadapan dengan pilihan yang sukar, tanyakan bukan sahaja apa yang boleh dilakukan, tetapi apa patut dilakukan.

“Ketiga, jadilah pencipta manfaat. Ukuran kejayaan tidak harus terhenti pada jawatan, pendapatan atau pengiktirafan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Melaka (UNIMEL) Ke-28 bagi sidang satu di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh merangkap PRO Canselor UNIMEL; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET negeri Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Naib Canselor UNIMEL, Prof. Datuk Ts. Dr. Abdul Khalil Shawkataly dan kenamaan lain.

Tun Mohd Ali yang juga Canselor UNIMEL berkata, graduan juga perlu menggunakan ilmu diperoleh untuk menyelesaikan masalah sebenar termasuk membantu keluarga, memperkukuh komuniti, meningkatkan mutu perkhidmatan serta membuka peluang kepada golongan kurang bernasib baik.

Katanya, keputusan yang baik dalam pekerjaan, penyelidikan dan kehidupan bermasyarakat memerlukan gabungan ilmu, empati serta keberanian untuk bertanggungjawab.

“Saya berharap semua graduan menjadikan amanat ini sebagai panduan untuk terus berkembang dan menyumbang kepada masyarakat, negeri serta negara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

133
Kongsi :
Previous post MUZIUM SAMUDERA BAKAL BERWAJAH BAHARU, AKAN DITUTUP SEMENTARA
Next post MELAKA TELITI INISIATIF KURANGKAN KOS ASUHAN ANAK DI TASKA