Pelancongan Melaka bangkit

Masa Membaca:2 Minit, 30 Saat

 

KESAN kerosakan industri pelancongan Melaka akibat pandemik COVID-19 sangat besar.
Jika tahun lalu saja kehadiran pelancong menurun melebihi 70 peratus, tahun ini bagaimana pula?

Dengan pelbagai usaha memulihkan pelancongan belum dapat dilaksanakan, ada kemungkinan impaknya lebih besar tatkala 2021 berbaki kurang lebih tiga bulan.

Mat cukup sedih apabila melihat banyak kedai-kedai, hotel dan pusat beli-belah di pusat bandar ditutup sebelum ini.

Pelancongan sebagai ‘nadi’ Melaka perlu dipulihkan segera demi kepentingan bersama khususnya penggiat sektor ini.

Seperti kata Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, penggiat pelancongan Melaka sudah melakukan persiapan rapi untuk beroperasi semula Oktober
nanti.

Difahamkan setiap pengiat industri yang telah lengkap dos vaksin akan diberikan sijil pengesahan dan wajib memaparkan kain rentang bahawa kesemua pekerja mereka telah lengkap vaksin.

Ini satu inisiatif yang baik kerana dapat meyakinkan pelancong untuk menggunakan perkhidmatan mereka.

Ia juga dapat mempromosikan kepada pengiat industri itu untuk membuka perniagaan mereka dengan mengamalkan normal baharu ditetapkan kerajaan.

Kali ini kita tidak boleh retorik. Segala perancangan ditetapkan kerajaan negeri perlu disambut penggiat industri pelancongan dengan segera.

Dak Mat: Rindu naik Menara Taming Sari.

APLIKASI MySejahtera. Gambar fail.

Selesaikan segera isu sijil digital vaksinasi

ISU masih ada individu belum memperoleh sijil digital vaksinasi meskipun sudah melengkapkan dua dos suntikan perlu dipandang serius pihak berkenaan.

Sebab itu Mat setuju sangat bila Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bertegas dalam hal ini.

Difahamkan beliau beri tempoh seminggu untuk Pasukan MySejahtera selesaikan isu sijil digital di aplikasi MySejahtera itu.

Baguslah. Sekarang rakyat memerhati setiap tindakan kerajaan dan agensi berkaitan. Jangan biarkan mereka dapat ‘peluru’ untuk ‘hentam’ atas isu tidak sewajarnya.

Bagi Mat, walaupun tidak diketahui berapa ramai individu yang lengkap menerima vaksin belum terima sijil berkenaan, tindakan menangani isu itu mesti disegerakan.

Sekarang makin mudah nak guna, buka saja MySejahtera terpampang maklumat penting termasuk status vaksinasi selain ada butang ‘check in’ dan ‘chec out’, berbeza dengan sebelum ini.

Begitu juga pelancaran laman sesawang baharu COVIDNOW mengenai data harian COVID-19 yang lebih telus.

Dak Mat: Kerja bertangguh tidak menjadi, kerja beransur tidak bertahan

Syabas polis! Terus cegah penyeludupan dan pengedaran dadah

SABAN hari kita membaca berita mengenai rampasan dadah oleh polis di seluruh negara.

Daripada sekecil-kecil jumlah dan nilai dadah hinggalah kepada rampasan bernilai jutaan ringgit.

Kejayaan itu bukti keseriusan polis membanteras musuh nombor satu negara termasuk penyeludupan dan pengedaran.

Khamis lalu misalnya, dilaporkan polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah terbesar setakat tahun ini babitkan Pulau Pinang, Kedah dan Perak.

Seramai 11 lelaki ditahan dan pelbagai jenis dadah bernilai RM34.1 juta dirampas dalam serbuan di tiga negeri itu awal bulan ini.

Di sebalik kejayaan itu timbul isu bagaimana sindiket dadah ini dapat lolos menyeludup dadah dari negara jiran dalam tempoh PKP?

Mat terbaca 1,000 bungkusan dadah itu disorok di dalam kotak yang ditutup dengan seluar jean. Taktik mereka tidaklah canggih mana.

Dak Mat: Dapatkah sifar dadah direalisasikan di negara ini?

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

940
Kongsi :
Previous post Pendekatan baharu tangani isu harga ayam
Next post Kerajaan, PH lakar sejarah meterai MoU transformasi dan kestabilan politik
Ubah saiz-+=