Motosikal 150cc ke atas wajib pemasangan ABS

Masa Membaca:2 Minit, 20 Saat

AYER MOLEK 24 Mei – Kerajaan akan mewajibkan pemasangan sistem brek anti kunci atau ‘Anti-lock Braking System’ (ABS) ke atas motosikal model baharu 150cc ke atas selepas kajian terperinci mengenai penggunaan alat berkenaan dijalankan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kementeriannya bersama Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) akan melaksanakan kajian secara terperinci mengenai pemasangan alat itu kepada semua model baharu berkapasiti 150cc ke atas dalam tempoh enam bulan.

Katanya, dalam tempoh itu, kajian turut melibatkan semua pemegang taruh termasuk industri pembuat motosikal dan wakil pengguna.

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr. Wee Ka Siong (dua dari kiri) melihat demontrasi ujian pelanggaran motosikal pada Majlis Ulang Tahun ke-10 Makmal Miros PC3 di Miros PC3, Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Tiang Dua, Ayer Molek, Melaka. Foto: MR. Azli

“Jadual pelaksanan untuk mewajibkan pemasangan ABS itu dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua tahun daripada tarikh tamat kajian ini.

“Kita tidak boleh buat dasar begitu tergesa-gesa, maka kita buat persiapan kajian dalam tempoh enam bulan untuk dimuktamadkan, kemudian dua tahun perlaksanaan, bermaksud kita sudah ada tempoh transisi.

“Jadi, mana-mana pengilang yang sudah bersiap-sedia tidak ada masalah, (sebaliknya) jika ada berdepan masalah mereka akan gunakan dalam tempoh itu,” katanya pada sidang media selepas meraikan sambutan ulang tahun ke-19 MIROS di Makmal Pelanggaran MIROS PC3, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah MIROS, Prof Dr Wong Shaw Voon, Ketua Pengarah MIROS, Datuk Khairil Anwar Abu Kassim dan EXCO Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata pemasangan sistem berkenaan dapat mengurangkan 30 peratus kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal di atas jalan raya.

“Secara puratanya sebelum pandemik (pada tahun 2019), kemalangan maut di atas jalan raya adalah sebanyak 6,000 setahun manakala bagi tahun 2020 purata kemalangan maut merekodkan sebanyak 4,658 dan kurang 100 kes tahun pada tahun lalu.

“Jadi puratanya, 64 hingga 67 peratus atau dua pertiga daripada jumlah kemalangan maut adalah penunggang motosikal,” katanya.

MENTERI Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr. Wee Ka Siong (tengah) mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Ulang Tahun ke-10 Makmal Miros PC3 di Miros PC3, Akademi Pengangkutan Jalan Malaysia, Tiang Dua, Ayer Molek, Melaka. Foto: MR. Azli

Jelasnya, faktor utama kemalangan di negara ini adalah disebabkan kegagalan untuk mengelak ketika pelanggaran atau terbabas sendiri.

Justeru itu, sistem ABS itu dapat membantu daripada menghalang motosikal berkenaan daripada mendapat kecederaan parah terutama di bahagian kepala.

“Jika motosikal dilengkapi dengan ABS, melalui jalan licin dan penunggang motosikal menekan brek, tidak ada risiko ‘skiding’ (tergelincir) sebaliknya jika tidak ada, ia akan menyebabkan tergelincir dan terbabas, sekali gus mengakibatkan kecederaan di bahagian kepala,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1036
Kongsi :
Previous post Tun Mohd Ali meriahkan Majlis Mahabbah Aidilfitri UTeM
Next post HFMD: Kes meningkat 20 kali ganda, Selangor masih tertinggi
Ubah saiz-+=