Ab Rauf jadi kebanggaan guru

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, kini menjadi kebanggaan tiga orang guru yang pernah mendidik beliau ketika mendapat pendidikan di peringkat rendah dan menengah.

Bekas guru Bahasa Inggeris, Ishak Hussin, 80, mendidik Ab Rauf dari 1967 hingga 1972 ketika Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Bidara itu mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram.

Katanya, Ab Rauf adalah seorang yang amat menghormati guru dan hubungan baik antara mereka tidak pernah terhenti, sebaliknya berterusan hingga ke hari ini.

“Perangai Datuk Seri, ketika sekolah rendah sama seperti kanak-kanak seusia dengannya malah seorang yang manja dengan ibunya.

“Kerana sifat manja itu saya tidak menyangka beliau boleh menjadi seorang yang berjaya dan kini menjadi pemimpin yang tegas menerajui Melaka,” katanya.

Sementara itu, bagi Talib Abdullah, 82, guru Bahasa Melayu dan Matematik di sekolah sama pula menyifatkan Ab Rauf sebagai seorang murid yang nakal tetapi mendengar kata.

“Degil tetap ada, tetapi Datuk (Seri) Ab Rauf mudah diajar. Alhamdulillah, beliau masih ingat jasa kami.

“Saya dan tidak menyangka jam 3 petang tadi (semalam) beliau minta saya datang ke majlis ini kerana kami tinggal sekampung,” katanya.

Manakala bekas guru sejarah Sekolah Menengah Ghafar Baba (kini dikenali Sekolah Menengah Kebangsaan Ghafar Baba), Wahid Kidam, 76, menjadi antara individu yang banyak memberikan kata-kata semangat kepada Ab Rauf kerana mahu melihat anak muridnya itu berjaya.

Wahid berkata, selain mengajar subjek sejarah dia juga bertugas sebagai warden asrama menyebabkan hubungannya dan Ab Rauf amat akrab.

“Jika buat kesalahan saya tetap ambil tindakan, mungkin pesanan dan teguran kami menjadi motivasi kepada dirinya untuk beliau terus berjaya,” katanya.

Kongsinya tabiat Ab Rauf ketika sekolah adalah menggunakan cuma satu buku nota mengandungi pelbagai subjek.

“Ab rauf suka belajar Sejarah, satu perangai beliau malah jika ditanya memang itulah jawapannya. Beliau ada satu buku sahaja.

“Dalam buku itu ada (nota) Bahasa Melayu, Matematik, Bahasa Inggeris, dan buku beliau ‘kendong’ (bawa) ke mana-mana pergi, itu beliau,” katanya sambil berseloroh.

Terdahulu, tiga bekas pendidik itu diberi pengiktirafan Tokoh Hati secara peribadi oleh pemimpin negeri pada Majlis Makan Malam Anugerah Hari Guru 2023 Peringkat Kebangsaan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, semalam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1723
Kongsi :
Previous post Jabatan Mufti nafi halang ceramah UAI di Melaka
Next post Kerajaan sedia isytihar darurat jika cuaca panas melampau
Ubah saiz-+=