Jabatan Mufti nafi halang ceramah UAI di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 16 Mei – Jabatan Mufti Negeri Melaka kesal dengan dakwaan yang mengaitkan pihaknya dan Kerajaan Negeri menghalang aktiviti dakwah berjalan di negeri ini.

Ia susulan terdapat dakwaan penceramah terkenal Ustaz Azhar Idrus atau dikenali sebagai UAI dihalang berceramah di negeri ini atas arahan jabatan berkenaan.

Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, secara prinsip pihaknya tidak pernah menyenarai hitam mana-mana penceramah agama termasuk penceramah popular yang tidak mempunyai Tauliah Mengajar Agama seperti yang dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri di Selangor, Terengganu dan Kelantan.

Bagaimanapun, katanya, sejak kebelakangan ini timbul pelbagai isu dibincangkan mengenai penceramah-penceramah agama, termasuk kategori penceramah selebriti.

Justeru, katanya, bagi menghormati pihak berkuasa agama Islam tiga negeri (Selangor, Terengganu dan Kelantan), Jabatan Mufti Negeri Melaka perlu memantau dan menyemak rekod tauliah penceramah berkenaan terlebih dahulu.

“Di dalam isu permohonan penganjur untuk menjemput Ustaz Azhar Idrus berceramah di Melaka di dalam bulan Mei 2023, pihak saya telah meminta pihak penganjur untuk menangguhkan seketika bagi membolehkan kami mendapatkan maklumat yang lebih lanjut berhubung Tauliah Mengajar Agama beliau (Ustaz Azhar Idrus).

“Pihak kami telah menjemput pihak penganjur untuk mendapat maklum balas dan berbincang lebih lanjut tetapi pihak penganjur enggan memberikan kerjasama.

“Justeru, Jabatan Mufti Negeri Melaka berasa kesal di atas penulisan dan persepsi negatif yang dilontar oleh pelbagai pihak seakan-akan jabatan ini dan saya sebagai Mufti Melaka serta Kerajaan Negeri menghalang aktiviti-aktiviti dakwah berjalan di Negeri ini dan bermotifkan politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Halim berkata, pihaknya sentiasa menyokong sebarang aktiviti bagi menyemarakkan penyebaran dakwah, pengimarahan masjid dan surau serta pengembangan ilmu berpandukan al-Quran dan hadis selaras manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah.

Justeru, beliau berharap tiada pihak cuba mengambil kesempatan untuk mengeruhkan isu atau mempolemikkan isu berkenaan.

“Malah, saya yakin Ustaz Azhar Idrus atau pegawainya berusaha dalam perkara ini (mendapatkan Tauliah Mengajar Agama) sebagai menghormati pihak agama negerinya iaitu Terengganu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7786
Kongsi :
Previous post Ikhlas mendidik jadi pegangan Tokoh Guru Kebangsaan 2023
Next post Ab Rauf jadi kebanggaan guru
Ubah saiz-+=