Ab Rauf luluskan peruntukan segera baiki kediaman mangsa ribut

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Jun – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh hari ini meluluskan peruntukan segera kerja pembaikan dua rumah yang rosak teruk dipukul ribut di Kampung Balik Batu dan Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini awal pagi ini.

Ab Rauf yang juga EXCO Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri berkata, beliau menyediakan peruntukan segera bagi menjalankan kerja pembaikan bumbung rumah Saharudin Abdullah, 52, di Kampung Balik Batu dan kediaman Hamka Jais, 55, di Kampung Ayer Hitam Pantai.

Ab Rauf ketika meninjau lokasi kejadian berkata, beliau sudah mengarahkan Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan (JAPERUN) DUN Tanjung Bidara, Ahmad Warid segera mendapatkan kontraktor bagi melaksanakan kerja berkenaan.

“Saya amat bersimpati dengan nasib yang menimpa mangsa ribut tetapi bersyukur kerana ia tidak membabitkan kehilangan nyawa dan kecederaan.

“Kerja pembaikan bumbung di kedua-dua rumah itu dibuat hari ini juga kerana kita bimbang jika hujan lagi, rumah mereka banjir,” katanya ketika ditemui di kediaman Saharudin hari ini.

Ab Rauf meneliti pokok asam yang tumbang akibat dibadai ribut di Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara dekat Masjid Tanah.

Beliau berkata, peruntukan bagi menyempurnakan kerja berkenaan dikeluarkan hari ini bagi memastikan mangsa ribut mampu menjalani kehidupan seperti biasa.

Ab Rauf yang hadir di kampung berkenaan dengan menunggang motosikal berkata, kenderaan itu memudahkannya keluar masuk kampung untuk bertemu anggota komuniti.

“Amat mudah untuk ke sana dan ke sini dengan menunggang motosikal,” katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, peruntukan segera dikeluarkan bagi menjalankan kerja pembaikan rumah Saharudin dan Hamka manakala empat lagi pemilik rumah diberikan sumbangan berikutan kerosakan kecil dialami pada bumbung rumah masing-masing.

Dalam kejadian hujan lebat dan ribut jam 1.30 pagi tadi kira-kira 50 peratus bumbung rumah Saharudin tercabut manakala keseluruhan bumbung anjung kediaman Hamka musnah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1327
Kongsi :
Previous post Ribut terbangkan enam bumbung rumah di Tanjung Bidara
Next post Sulaiman terima B.K.C dahului penganugerahan Bintang, Pingat Kebesaran MGBM
Ubah saiz-+=