Ribut terbangkan enam bumbung rumah di Tanjung Bidara

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

TANJUNG BIDARA 25 Jun – Angin kencang dan hujan lebat awal pagi tadi menyebabkan dua rumah rosak teruk, masing-masing di Kampung Balik Batu dan Kampung Ayer Hitam Pantai, di sini.

Kejadian pada jam 1.30 pagi itu turut mengakibatkan empat rumah mengalami kerosakan kecil apabila beberapa bahagian bumbung kediaman masing-masing tercabut.

Mangsa, Mohd Asyraf Saharudin, 25, berkata ketika kejadian dia dan ibu bapa serta kakak bersama dua anak kakaknya sedang lena di bilik masing-masing dan mereka dikejutkan dengan dentuman kuat pada bumbung rumah.

“Kami sekeluarga terkejut dengan bunyi dentuman yang amat kuat dan kami segera keluar rumah meredah hujan lebat.

“Kami terkejut apabila mendapati 50 peratus bumbung rumah sudah tercabut diterbangkan angin kencang dan menyebabkan ruang tamu dan dapur banjir,” katanya ketika ditemui di Kampung Balik Batu hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu adalah yang pertama seumpamanya tetapi beliau bersyukur kerana tiada ahli keluarganya cedera.

Sementara itu, bekas anggota tentera Hamka Jais, 55, berkata beliau, isteri dan lima anak berusia antara 14 hingga 28 tahun terkejut apabila terdengar objek terhempas di bahagian anjung rumah di Kampung Ayer Hitam Pantai.

Hamka (kanan sekali) bersama-sama jirannya meneliti kerosakan motosikal akibat ditimpa bumbung yang runtuh akibat dibadai ribut di Kampung Ayer Hitam Pantai, Tanjung Bidara.

“Kami sedang tidur nyenyak ketika kejadian tetapi tersedar daripada tidur apabila terdengar bunyi benda jatuh di bahagian depan rumah.

“Saya segera mengejutkan isteri dan anak sebelum bergegas keluar rumah dan sebaik berada di halaman rumah, kami dapati bumbung anjung sudah runtuh akibat dipukul angin kencang,” katanya.

Hamka yang juga Pengerusi Masjid Kampung Ayer Hitam Pantai berkata, bumbung anjung yang runtuh menyebabkan sebuah motosikalnya rosak ditimpa tiang besi dan bumbung zink.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1454
Kongsi :
Previous post KBS hormati keputusan Zii Jia
Next post Ab Rauf luluskan peruntukan segera baiki kediaman mangsa ribut
Ubah saiz-+=