
AB RAUF TITIP SEMANGAT BUAT CALON SPM MELAKA
ALOR GAJAH 24 Oktober – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menitipkan nasihat serta doa buat semua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini agar terus bersemangat dan fokus menjelang peperiksaan itu.
Beliau berkata, lebih 11,000 calon SPM di Melaka dijangka menduduki peperiksaan tersebut yang dijadualkan bermula pada November 2025.
“Saya yakin semua calon SPM mampu membanggakan negeri kita. Kurang sebulan lagi anak-anak akan menduduki peperiksaan penting ini.
“Maka gunakan masa yang ada sebaiknya dan jangan terpengaruh dengan perkara yang boleh melalaikan serta menjejaskan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sentuhan Kasih Ketua Menteri Melaka Bijak SPM 2025 di Dewan Taming Sari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Kampus Alor Gajah, Lendu, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rosli Abdullah; Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Zulkiflee Mohd Zin serta Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Abdul Aziz Baba.
Ab Rauf turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat, disiplin dan kesungguhan, calon-calon SPM mampu mencipta kejayaan yang membanggakan serta mengharumkan nama keluarga, sekolah dan Negeri Melaka di persada dunia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


