Sorting by

×

Abang bomba enggan vaksin kena kaunseling

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

BUKIT KATIL 8 Feb- Pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang enggan divaksin atas bukan sebab masalah kesihatan diarahkan menghadiri sesi kaunseling.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata setakat ini hanya lima peratus kakitangan jabatan itu masih belum divaksin atas pelbagai sebab termasuk masalah kesihatan.

Katanya, mengikut rekod setakat ini JBPM sudah mencapai lebih kurang 95 peratus vaksinasi dan bakinya lima peratus masih belum berbuat demikian.

“Daripada lima peratus ini, dua peratus bukan disebabkan faktor kesihatan dan tanpa sebab munasabah, mereka berkenaan sudah dikaunseling.

“Dua peratus itu kurang 50 orang, ada menggunakan alasan agama, takut kesan selepas vaksin dan ada dalam kalangan mereka ini terpengaruh dengan gerakan antivaksin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Ibu Pejabat JBPM Melaka, Bukit Katil yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia (Dr) Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas lanjut Mohammad Hamdan berkata, semua pengarah JBPM negeri diarahkan menyenaraikan nama pegawai dan anggota terbabit sebelum diarahkan menjalani sesi kaunseling.

“Selepas itu minta justifikasi dan pihak ibu pejabat akan justifikasi serta pertimbangkan.

“Mereka ini perlu divaksin, kerana bergerak dalam pasukan, pelbagai kepayahan akan dihadapi jika tidak divaksin,” katanya.

Tambahnya, penerimaan vaksin Covid 19 dalam kalangan pegawai dan anggota JBPM penting memandangkan mereka antara individu utama bagi membantu orang awam serta melancarkan proses menyelamat apabila berlaku bencana.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2758
Kongsi :
Previous post 12,500 anggota Bomba siap siaga hadapi musim kemarau
Next post KWP komited bantu warga Wilayah Persekutuan miliki kediaman sendiri
Ubah saiz-+=