JALUR GEMILANG: KIBAR MENGIKUT TATACARA YANG BETUL

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 15 Ogos – Masyarakat bukan sahaja digalakkan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan malah perlu memastikan pemasangannya dibuat mengikut tatacara yang betul.

Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Melaka Mazli Hamdan berkata, perkara itu penting bagi mengelakkan kesilapan seperti pemasangan bendera secara terbalik, susunan jalur yang salah atau terus mengibarkan bendera yang sudah lusuh.

Katanya, aspek tersebut perlu diberi perhatian dalam kempen ‘1 Rumah 1 Jalur Gemilang’ yang diteruskan setiap tahun bagi memupuk rasa cinta terhadap negara, khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Walaupun bukan merupakan tahun pertama kempen ini dilaksanakan tetapi setiap tahun kita mempergiatkannya lagi bagi mengelakkan berlakunya perkara tidak diingini.

“Kita tidak mahu anak muda kita hari ini lupa tentang bagaimana untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan yang lebih penting, kaedah dan cara mengibarkan Jalur Gemilang perlu dihadamkan oleh semua golongan dan lapisan usia.

“Yang penting apabila kita mengibarkan Jalur Gemilang ini perlu tahu tatacara untuk mengibarkannya supaya ia tidak salah ditafsir seperti terbalik dan juga tidak betul susunan jalurnya,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang X Jago Melaka 2026 di sebuah pasaraya, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Strategik) Jabatan Penerangan Malaysia Rubayah Osman serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Mazli berkata, kempen berkenaan bukan hanya menyasarkan kediaman persendirian, malah turut melibatkan premis perniagaan, kilang, sekolah, universiti serta premis kerajaan dan swasta.

Katanya, usaha itu diharap dapat menyemarakkan lagi semangat Hari Kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia secara keseluruhannya khususnya warga Melaka.

“Masyarakat juga perlu memastikan bendera yang digunakan sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak lusuh.

“Kita tidak mahu menayangkan ataupun masih mengekalkan bendera yang lusuh. Jadi kita perlu mengganti setiap masa agar kita lihat bahawa inilah tanah air kita.

“Melihat pada sambutan terhadap kempen ini setakat ini menunjukkan perkembangan positif apabila semakin banyak Jalur Gemilang mula menghiasi kawasan sekitar Ayer Keroh,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

295
Kongsi :
Previous post PENGALAMAN BUDAYA DI HUTAN PERCHA MEMORI INDAH BUAT PESERTA AARDO
Next post FELDA HUTAN PERCHA JADI PILIHAN NEGARA LUAR