Abang polis balik kampung demi mengoca

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

MACHAP JAYA 8 Mei – Kesibukan menjaga keamanan negara di ibu kota tidak menghalang seorang anggota polis untuk bergegas pulang ke kampung untuk menyertai acara ‘mengoca’.

Shameer Anuar Redzuan, 38 berkata, acara tradisi itu sememangnya ditunggu-tunggu memandangkan ia julung kali diadakan di kampung halamannya.

Menurutnya, ‘ngoca’ atau menangkap ikan menggunakan peralatan atau tangan bukan hanya sebuah sukan rakyat yang mengejar habuan ikan semata-mata tetapi ia mampu membuka mata masyarakat mengenai pentingnya bergaul mesra sesama penduduk kampung.

“Saya mengetahui tentang penganjuran ini pada petang Sabtu selepas selesai bertugas di Bukit Aman, saya bertolak balik ke sini demi ngoca.

“Selain aktif menangkap ikan di kampung, saya rasa aktiviti ini perlu diteruskan kerana ia tradisi yang boleh mengeratkan hubungan antara masyarakat setempat.

“Lebih-lebih lagi sekarang golongan muda banyak terdedah dengan gajet. Ini caranya untuk buat mereka melupakan sebentar perkara itu dan cuba aktiviti-aktiviti kampung seperti ini,” katanya selepas program Jom Ngoca dan Sambutan Aidilfitri Kampung Kuala Sungga, semalam.

Shameer yang merupakan pemenang tempat ketiga acara tersebut menyifatkan suasana bermandi lumpur dengan kegirangan kanak-kanak turun ke parit adalah pengalaman cukup berharga.

“Tidak terfikir untuk menang sebab lebih kepada nak berseronok sahaja kerana sudah lama tidak menangkap ikan beramai-ramai begini.

“Antara hasil tangkapan selama hampir 10 minit mengoca tadi ialah ikan keli, sepat, haruan dan belut,” katanya.

Terdahulu, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem yang ditemui pada program Jom Ngoca berhasrat mahu menjadikan aktiviti itu sebagai acara tahunan di kawasan kampung di negeri ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1597
Kongsi :
Previous post Rasuah RM5 juta: Bekas CEO institusi auromotif didakwa lagi
Next post TMM2024: Melaka sasar RM30 juta daripada pelancong Timur Tengah
Ubah saiz-+=