Adat Perpatih wilayah Naning hanya tinggal nama

Masa Membaca:4 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 1 Sept. – Hukum adat ataupun peraturan perundangan turun-temurun warisan Melayu di Melaka berpaksikan dua pendekatan adat iaitu Adat Temenggung dan Adat Perpatih yang berbeza bagi menjalani kehidupan seharian membabitkan aspek pentadbiran, ekonomi dan sosial.

Adat yang berasal dari Utara Sumatera ini telah berkembang di Tanah Melayu dibawa oleh dua beradik iaitu Datuk Ketemenggungan yang kemudiannya berkuasa di Palembang, Indonesia (Adat Temenggung) dan Datuk Perpatih Nan Sebatang yang kemudiannya berkuasa di Pagar Ruyung (Adat Perpatih).

Walaupun kedua adat ini hanya termaktub dalam Undang-Undang Tidak Bertulis Kerajaan Melayu, Adat Temenggung hanya diamalkan oleh setiap negeri di Malaysia ,namun keunikan negeri ini jelas kelihatan apabila dua adat termasuk Adat Perpatih yang hanya dikendalikan di Negeri Sembilan turut diamalkan di Melaka.

Dua daerah iaitu Alor Gajah dan Jasin yang merupakan antara wilayah Naning mempunyai 25 mukim yang terletak berdekatan Rembau, Negeri Sembilan mempunyai sejarah dalam penubuhan kuasa kerajaan lama suatu ketika dahulu

Setiausaha Persatuan Pesaka Perpatih Melaka Sam Zainal Abd. Karim, 63, berkata, adat yang dibawa kerajaan asal Naning itu telah membawa kesinambungan dalam salasilah kehidupan bermasyarakat meliputi aturcara perkahwinan, berkhatan, khatam Al-Quran, kematian serta pelbagai lagi perlu diikuti asalkan ia mengikut kehendak syarak.

SETIAUSAHA Persatuan Pesaka Perpatih Melaka Sam Zainal Abd. Karim

“Suku atau kumpulan keluarga mempunyai aras kepimpinan yang diikuti Undang, Lembaga, Buapak dan Anak Buah juga terdapat di Nyalas dan terdiri dengan tujuh suku tempatan iaitu Suku Mungkal, Suku Tiga Batu dan Suku Anak Melaka yang masing-masingnya mempunyai pecahan suku dari suku utama ini.

“Adat yang diwarisi ini membuktikan bahawa pentingnya suku kerana setiap suku itu merupakan kumpulan keluarga yang diwarisi dari keturunan ibu malah setiap suku di kawasan ini dilihat semuanya bersaudara kerana mempunyai pertalian darah dalam kumpulan keluarga,”katanya.

ADAT PERPATIH TERKUBUR DI NANING

Menerusi pemerhatian Adat Perpatih dalam kebanyakkan mukim di kawasan wilayah Naning mendapati sesetengah keluarga di kawasan berkenaan tidak lagi mengamalkan amalan yang ditekankan dan telah dibuktikan melalui upacara perkahwinan.

Sudah terang lagikan bersuluh, rata-rata mukim di wilayah Naning di Melaka dilihat semakin menguburkan warisan berkenaan malah kebanyakkanya mengikuti atau mencampuri pendekatan adat yang diamalkan dalam Adat Temenggung.

Menurut seorang penduduk di Lendu ingin dikenali sebagai Ibrahim Johari berkata, adat itu tidak lagi diamalkan sepenuhnya di sekitar komuniti itu, namun hanya menekankan beberapa konsep dalam perkahwinan yang seakan sama dengan Adat Temenggong.

Ujarnya, melalui pewarisan harta tidak lagi diturunkan kepada sebelah wanita seperti kebiasaan yang diamalkan pada Adat Perpatih, namun kebanyakkanya mengamalkan pembahagian menggunakan sistem faraid.

MEMPELAI turut diraikan pada belah malam dengan set persalinan yang lain yang turut menggunakan Adat Bertandu dengan dilengkapi pelbagai gimik seperti penggunaan bunga api buluh.

“Melalui adat perkahwinan yang menggunakan konsep Penghulu mahupun Sidang masih digunakan, namun ia hanya sebagai lambang dalam masyarakat dan amalan dari segi pembayaran kepada ketua suku termasuk buapak itu tidak diguna pakai lagi.

“Malah, konsep itu semakin dikuburkan dan pendekatan acara perkahwinan menggunakan konsep moden diubah suai sehingga hari ini sehinggakan ada juga tuan rumah menjalankan perkahwinan dengan menggabungkan kedua belah pihak dan menjalankan acara pada satu majlis sahaja.

“Adat dalam perkahwinan memang ada tetapi ia tidak diikuti sepenuhnya, hanya sekadar syarat yang dipersetujui antara kedua belah pihak dan perkara ini berlaku berkemungkinan mereka berpendapat ia lebih mudah dan tidak melecehkan, malah lebih menjimatkan penggunaan wang.

“Namun, mereka tidak sedar bahawa amalan seperti inilah yang menggalakkan sikap bergotong royong dalam kehidupan bermasyarakat bagi menjayakan sesuatu majlis tetapi sekarang banyak keluarga lebih menjurus kepada menggunakan perkhidmatan katering.

“Berbeza seperti dahulu pelbagai adat digunakan seperti berkampung, ‘bertanam’, bertandang, berkoden, menyalang serta pelbagai lagi digunakan tapi kini ia semakin hilang dimamah usia,” katanya.

BIMBANG HILANGNYA ADAT DITELAN ZAMAN

Bimbang akibat adat yang semakin dilupakan di wilayah Naning itu pelbagai pendekatan telah diambil kumpulan warisan tersebut dalam melestarikan kebudayaan yang sekali gus mengekalkan warisan yang kaya di bumi bersejarah ini.

Setiausaha Persatuan Pancha Warisan Melaka Suhaizan Noh berkata, sebagai golongan muda yang bimbang dengan keadaan terbabit pihaknya bersama Persaka Perpatih menyasarkan persatuan itu mampu bergerak ke hadapan sebagai peneraju bagi membangunkan semula warisan terbabit.

SETIAUSAHA Persatuan Pancha Warisan Melaka Suhaizan Noh

Katanya, disebabkan kurangnya pemahaman dan pendedahan adat tersebut kepada generasi muda menyebabkan ia menjadi faktor utama semakin dilupakan.

Jelasnya, kebanyakkan masyarakat di mukim Alor Gajah yang tidak mengamalkan adat itu disebabkan ia melecehkan dan membabitkan penglibatan semua pihak pentadbiran masyarakat bagi menjalankan pelbagai isitiadat terutama dalam acara perkahwinan.

“Kita lihat tidak ada anak muda yang mahu mengambil tahu dan mewarisi adat yang berharga ini malah jika kita tidak bangunkan di Nyalas ini, lama-kelamaan ia juga akan hilang suatu hari nanti.

“Kebanyakkan yang mengetahui adat ini dalam kalangan orang tua sahaja dan tiada anak muda yang mengikuti, inilah yang kita bimbang kerana adat ini mungkin akan dilupakan.

“Kita mahu perkasakan Adat Perpatih di wilayah Naning ini bukannya mahu menyukarkan keadaan pengamal adat dan juga tidak mengganggu kawasan lain di wilayah-wilayah bukan adat ini di Melaka.

“Namun apa yang kami mahukan ia perlu dikekalkan dan didedahkan secara menyeluruh, kita perlu tahu adat ini juga menyumbang kepada pelbagai manfaat dalam kehidupan bermasyarakat di mana ia diterapkan dalam amalan gotong royong, kehidupan bermuafakat, menjaga hak wanita serta menitipkan keutamaan persaudaraan itu sendiri,” katanya.

‘Biar mati anak, jangan mati adat’; bayangkanlah ungkapan Melayu lama itu seolah-olah bermaksud sanggup mematikan anak sendiri asalkan adat yang ditunjangkan itu tidak dimatikan dan ini menunjukkan betapa berharganya adat yang diamalkan berbanding darah daging sendiri.

Amalan dan pendekatan berterusan terhadap adat ini seharusnya diterapkan khususnya buat generasi muda hari ini dan ia tidak perlu hanya sekadar dikenali melalui nama tetapi tidak diwarisi.

Views:

3401
Kongsi :
Previous post MAQIS rampas 63 tan makanan ikan dari Oman bernilai RM240,000
Next post Program ‘chargeman’ tajaan TNB buka peluang anak Melaka terokai pasaran buruh
Ubah saiz-+=