Program ‘chargeman’ tajaan TNB buka peluang anak Melaka terokai pasaran buruh

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

AYER KEROH 1 Sept. – Program Penjaga Jentera Elektrik (Chargeman) kategori A0 yang ditaja sepenuhnya oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bakal membuka ruang pekerjaan yang lebih besar kepada anak Melaka pada masa depan.

Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) Mustafa Musa berkata, program berkenaan bukan sahaja dapat mengatasi masalah pengangguran di kalangan anak muda, bahkan menjadi nilai tambah untuk menerokai pasaran buruh yang kini menuju ke arah Revolusi Industri 4.0.

Jelasnya, seramai 40 anak Melaka bakal dipilih untuk menyertai program tersebut secara percuma yang akan dijalankan di TNB Integrated Learning Solution (ILSAS).

“Program ini sangat baik kepada mereka yang berkecimpung di dalam kerjaya chargeman. Sebelum ini, ramai anak Melaka yang ada pengalaman, tapi tiada sijil dan pengiktirafan. Jadi sukar untuk mereka berkembang maju ke hadapan.

“Jadi dengan pengalaman kerja yang mereka ada ditambah dengan sijil A0 yang akan diberikan selepas tamat pengajian di ILSAS nanti, ia akan memberi impak tinggi kepada mereka dan boleh bekerja dengan mana-mana agensi dengan tawaran gaji yang lebih tinggi,” ujarnya.

Tambah Mustafa, melalui program berkenaan juga ia dapat melahirkan lebih ramai tenaga mahir di negeri ini sekali gus berupaya menarik kehadiran lebih ramai pelabur khususnya dalam bidang industri.

“Melaka bukan sahaja negeri pelancongan tersohor, bahkan ekonomi kita juga berteraskan industri. Jadi, bila kita ada ramai tenaga mahir khususnya dalam bidang penjaga jentera elektrik, secara tidak langsung ia akan menggamit kedatangan penggiat industri untuk datang ke Melaka.

“Ini sekali gus dapat mengatasi masalah pengangguran di kalangan anak negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Taklimat Program Penjaga Jentera Elektrik Kategori A0 Untuk Anak Melaka di Auditorium Seri Negeri, pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah Urusan ILSAS Ir. Dr. Mohd Fuad Faisal dan Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Melaka, Ir Khairizam Ibrahim.

Dalam majlis taklimat itu, seramai kira-kira 60 anak Melaka yang telah disenarai pendek oleh TAPEM hadir mendengar taklimat dan penerangan berkenaan kursus tersebut.

Taklimat itu juga antara lain memberi pendedahan tentang cara penyediaan buku log dan menerangkan mengenai borang permohonan peperiksaan Suruhanjaya Tenaga.

Views:

1043
Kongsi :
Previous post Adat Perpatih wilayah Naning hanya tinggal nama
Next post Turunkan lagi kadar caj perhotelan – Muhammad Jailani
Ubah saiz-+=