111 PENJAJA, USAHAWAN KECIL DUN BEMBAN TERIMA BANTUAN RM50,000

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

BEMBAN 13 Ogos – Seramai 111 penjaja dan usahawan kecil dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban menerima bantuan peralatan perniagaan bernilai RM50,000 sebagai usaha membantu mereka meneruskan kelangsungan perniagaan serta meningkatkan pendapatan keluarga.

Penyelaras DUN Bemban  Mohd Raziff Yakop berkata, bantuan tersebut adalah susulan hasil lawatan dan program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat yang dilaksanakan sebelum ini bagi mengenal pasti keperluan sebenar golongan sasaran.

Katanya, penerima dipilih selepas melalui proses saringan dan penilaian bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar bersesuaian dengan keperluan perniagaan masing-masing.

“Antara penerima terdiri daripada penjaja, petani kecil, pengusaha bengkel, kedai kenderaan, tukang jahit dan pengusaha salun yang memerlukan peralatan untuk membantu mereka meneruskan perniagaan.

“Golongan ini bukan mencari kekayaan, sebaliknya berusaha mencari rezeki dan membantu menampung kehidupan keluarga. Sebab itu, mereka perlu kita santuni dan bantu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Peralatan di Japerun Bemban, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Raziff berkata, secara keseluruhan terdapat kira-kira 212 penjaja dan pengusaha kecil di DUN Bemban namun hanya 111 penerima dapat disantuni menerusi peruntukan bagi fasa pertama itu.

Tambahnya, penerima yang tidak terima sumbangan dan bantuan pada fasa pertama ini akan diberi perhatian menerusi pemberian fasa kedua yang dirancang bagi memastikan golongan yang masih belum menerima bantuan tidak tercicir.

“Insya-Allah, bantuan ini tidak terhenti di sini. Kita sudah merancang untuk fasa kedua dan akan melihat semula mereka yang masih tertinggal supaya dapat kita bantu mengikut keperluan. Kebajikan penjaja dan pengusaha kecil perlu diberikan perhatian kerana mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menyara keluarga.

“Saya berharap bantuan diberi ini dapat memberi keselesaan kepada penerima untuk meneruskan perniagaan selain membantu meningkatkan pendapatan dan taraf kehidupan keluarga masing-masing.

“Saya harap barangan yang diberikan ini dapat digunakan sebaiknya supaya mereka dapat terus berniaga dengan lebih selesa dan meningkatkan pendapatan untuk membantu keluarga,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

561
Kongsi :
Previous post RUMAH BAHARU JADI SIMBOL HARAPAN BUAT AMRAN SEKELUARGA