BANTUAN TEPAT IKUT KEPERLUAN, JADI PENGUAT SEMANGAT PENJAJA KECIL

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

BEMBAN 13 Ogos – Peniaga kecil, usahawan dan penjaja menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas sumbangan peralatan perniagaan sempena Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban.

Norliza Md Nasir, 51, pengusaha gerai menjual sarapan berkata, bantuan diterima menerusi Program Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Bemban amat bermakna kerana dapat mengurangkan beban kos menyediakan kelengkapan perniagaan.

Katanya, sumbangan kerusi dan meja diterima disifatkan sebagai penguat semangat untuk terus menjalankan perniagaan kecil-kecilan bagi menyara kehidupan keluarganya.

“Saya amat berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Kerajaan Negeri dan Penyelaras DUN Bemban Mohd Raziff Yakop atas bantuan yang diberikan.

“Terima kasih kerana prihatin dan mengambil berat keperluan peniaga kecil seperti kami,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Majlis Penyampaian Sumbangan Bantuan Peralatan di Japerun Bemban, di sini, hari ini.

Sementara itu pengusaha kedai makan, Ng Ngu, 63, berkata sumbangan berupa kerusi dan kipas berdiri yang diterimanya membantu meningkatkan keselesaan pelanggan yang berkunjung ke premisnya nanti.

Jelasnya, bantuan itu bukan sahaja mengurangkan perbelanjaan untuk mendapatkan peralatan baharu malah memberi motivasi kepadanya untuk terus mengembangkan perniagaan.

“Bantuan ini sangat membantu kerana kerusi dan kipas memang diperlukan dalam kedai saya, jadi terima kasih kepada Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri kerana prihatin.

Bagi Neo Hock Eng, 65, yang menjalankan perniagaan menjual durian berkata sumbangan penimbang digital pula disifatkan amat bertepatan dengan keperluan perniagaannya.

Jelasnya, peralatan itu dapat memudahkan urusan menimbang hasil jualan selain membantu memastikan urusan perniagaan berjalan dengan lebih lancar.

“Saya sangat berterima kasih atas bantuan ini. Penimbang digital memang penting untuk perniagaan durian dan ia dapat membantu saya menjalankan urusan jual beli dengan lebih mudah,” katanya.

Manakala G Lalitha, 31, menjalankan perniagaan wade atau vadei di Taman Maju turut menzahirkan penghargaan atas perhatian diberikan kepada golongan peniaga kecil menerusi program berkenaan.

Katanya, bantuan diterima memberi suntikan semangat untuk meneruskan perniagaan selain membuktikan golongan kecil turut diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri Melaka.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Kerajaan Negeri Melaka dan Penyelaras DUN Bemban kerana membantu kami peniaga kecil.

“Bantuan ini sangat bermakna dan saya berharap usaha seperti ini dapat diteruskan bagi membantu lebih ramai peniaga kecil,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1194
Kongsi :
Previous post 111 PENJAJA, USAHAWAN KECIL DUN BEMBAN TERIMA BANTUAN RM50,000
Next post 1 RUMAH 1 JALUR GEMILANG: SEMAI PERASAAN BANGGA, CINTAKAN NEGARA